Anwar tegur wakil rakyat yang hanya turun padang bila PRU makin dekat | The Reporter

Anwar tegur wakil rakyat yang hanya turun padang bila PRU makin dekat

Anwar Ibrahim beri ucapan rasmi menegur budaya politik bermusim
Anwar Ibrahim menegur sikap wakil rakyat yang hanya turun padang bila PRU makin dekat | Kredit gambar: FB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Anwar mahu budaya turun padang bermusim dihentikan
• Wakil rakyat diminta santuni rakyat secara konsisten
• Pendekatan Madani bukan sekadar gimik politik

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur sikap sesetengah wakil rakyat yang hanya kelihatan turun padang menyantuni rakyat apabila pilihan raya semakin hampir. Katanya, amalan sebegitu tidak sepatutnya berlaku dalam budaya politik masa kini.

Menurut Anwar, pendekatan Kerajaan Madani bukanlah gimik politik bermusim, sebaliknya perlu berterusan dan memberi tumpuan kepada keperluan sebenar majoriti rakyat. Beliau memberi contoh rutinnya sendiri yang turun ke warung setiap Jumaat sebelum solat sebagai usaha mendekati masyarakat secara konsisten.

“Sebab itu setiap Jumaat saya pergi makan di warung atau gerai dalam 15-20 minit sebelum solat. Dari situ kita boleh tengok sendiri keadaan kebersihan, kemudahan… perkara yang dekat dengan rakyat,” katanya.

Anwar menegaskan beliau tidak mahu wakil rakyat hanya muncul dua bulan sebelum pilihan raya untuk sekadar beramah mesra, mencium bayi atau berjalan di pasar sebagai ‘tiket’ memancing undi.

“Saya nak hentikan budaya turun padang dua bulan sebelum pilihan raya. Sebab masa tu semua orang politik akan mula cium bayi, jalan warung, tanya khabar rumah ke rumah. Itu bukan cara kita,” tegasnya.

Tambahnya lagi, budaya menyantuni rakyat perlu dijadikan keutamaan sepanjang masa, bukan semata-mata ketika menjelang pilihan raya. Ia mencerminkan keikhlasan pemimpin dalam memahami realiti kehidupan rakyat.

Sumber: Astro Awani

Related Posts