Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 atau Urban Renewal Act (URA) bukanlah strategi untuk menafikan hak orang Melayu, sebaliknya bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat bandar, majoritinya masyarakat Melayu.
Anwar memaklumkan beliau telah bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama beberapa Ahli Parlimen pembangkang di lobi Parlimen bagi membincangkan pindaan RUU URA.
Beliau menekankan, pandangan pelbagai pihak amat penting untuk memastikan undang-undang itu lebih menyeluruh, inklusif dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Nafi dakwaan ‘boneka’ dan jamin bela Melayu
Menjawab tuduhan bahawa RUU berkenaan kononnya menghakis kepentingan orang Melayu, Anwar menolak keras dakwaan tersebut.
“Jangan buat tuduhan kita nak ketepikan orang Melayu, nak tindas mereka. Tak betul. Saya tidak mahu Melayu hidup merempat,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau turut menegaskan dirinya bukan Perdana Menteri boneka, malah akan terus mempertahankan kepentingan Melayu Bumiputera sambil mengimbas kembali pengalaman membangunkan kawasan seperti Kerinchi dan Wangsa Maju ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dahulu.


Terbuka kepada penambahbaikan
Mengulas cadangan Hamzah agar kerajaan menangguhkan RUU itu, Anwar menjelaskan ia mesti diteruskan namun terbuka untuk diperhalusi. Beliau memberi jaminan sebarang cadangan penyesuaian, termasuk nilai ambang persetujuan penduduk, boleh dipertimbangkan.
Menurutnya, pembangunan semula bandar tidak boleh dibiarkan terbantut kerana matlamat utama adalah menyediakan kediaman lebih selesa dan moden bagi rakyat, khususnya masyarakat Melayu di bandar.

Sumber: Facebook Anwar Ibrahim, Harian Metro








