Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi sekiranya terbukti terlibat dalam kes kematian pelajar asrama, Zara Qairina Mahathir, yang menggemparkan negara baru-baru ini.
Perdana Menteri menegaskan, siasatan mesti dilakukan secara menyeluruh dan segera tanpa mengira kedudukan sesiapa, termasuk jika melibatkan tokoh berkaitan politik.
“Baru-baru ini ada kematian (berkaitan kes Zara Qairina) dan Menteri Pendidikan diserang. Kematian ini bukan soal yang ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati, itu tanggungjawab kita bersama untuk cari, bukan tuduh sesiapa,” katanya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
PM dimaklumkan 60 saksi sudah dipanggil
Anwar berkata beliau telah berbincang terus dengan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri berhubung kes ini. Menurut beliau, polis memaklumkan seramai 60 orang saksi telah dirakam keterangan dan laporan lengkap telah dihantar kepada pihak pendakwaan.
“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail). Dia (Mohd Khalid) kata kita buat siasatan segera, kita cari segala fakta dan selesaikan. Dia kata sudah 60 orang (saksi) diambil keterangan.”
Tiada siapa terkecuali tetapi jangan buat fitnah
Anwar turut memberi amaran bahawa tidak akan ada sebarang perlindungan bagi sesiapa yang bersalah, namun menasihatkan semua pihak agar tidak membuat tuduhan semberono.
“Kita harus ingat ini bukan negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak peduli siapa pun (sama ada berkaitan) Tan Sri, Datuk Seri, menteri, anak menteri, kalau terlibat dalam jenayah, pembunuhan atau bersekongkol tidak akan diberi perlindungan. Tetapi jangan memfitnah.”
Tambah beliau, walaupun tidak campur tangan secara langsung, beliau mengambil maklum perkembangan siasatan kerana rakyat berhak tahu.
“Tapi saya tidak campur (dalam urusan kes Zara Qairina). Saya tanya (kepada pihak berkaitan) supaya rakyat tahu.”
Sumber: Harian Metro








