Anwar nafi sekat peruntukan, tegas dana terus kepada rakyat | The Reporter

Anwar nafi sekat peruntukan, tegas dana terus kepada rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjelaskan kerajaan tidak menyekat peruntukan pembangunan dan menegaskan dana terus disalurkan kepada rakyat.
Anwar Ibrahim menegaskan peruntukan pembangunan terus disalurkan kepada rakyat. Gambar: Facebook Anwar Ibrahim

Dakwaan kerajaan menyekat peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen sekali lagi disangkal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan peruntukan itu disalurkan terus kepada rakyat.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah memastikan dana pembangunan dimanfaatkan bagi memenuhi keperluan rakyat, bukannya disalurkan kepada Ahli Parlimen.

“Tiada sekatan, yang penting peruntukan itu untuk siapa? Untuk Ahli Parlimen atau untuk rakyat? Jadi, peruntukan itu mesti sampai kepada rakyat.

“Sekolah, sekolah agama, madrasah, masjid, pembaikan tandas yang rosak, longkang dan pelbagai keperluan lain, semuanya diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail bahawa Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang tidak lagi mempunyai akses kepada portal MyKHAS yang menguruskan peruntukan khas kawasan Parlimen.

Baca juga:

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut memaklumkan akses mereka kepada portal berkenaan telah disekat.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen itu pernah menghadiri pelancaran Bersama, parti yang diambil alih bekas pemimpin PKR, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada Mei lalu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pendekatan menyalurkan peruntukan terus kepada rakyat bukanlah dasar baharu, malah telah lama diamalkan oleh kerajaan.

“Dasar itu sudah lama diguna pakai. Semua Ahli Parlimen pun tahu mengenainya dan sekarang mereka menentang (tidak menyokong), jadi kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Rodziah mendakwa akses Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang kepada sistem MyKHAS dibekukan sejak 29 Julai lalu. Lee pula memaklumkan akses bagi Parlimen Petaling Jaya disekat sejak penghujung Mei, sebelum Anwar mengesahkan pada Julai bahawa baki peruntukan RM3 juta bagi kawasan itu tidak lagi disalurkan melalui Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.

Sumber: FMT

Related Posts