Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak, pada Selasa.
Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata beliau baru menghubungi Bee Sham Ahmad, bapa kepada Allahyarham, bagi menyampaikan salam takziah.
Menurut beliau, kenangan ketika Allahyarham bertanggungjawab menerbangkannya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) amat memberi kesan dan menyentuh perasaannya.
“Tatkala menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam,” katanya.
Anwar turut menyifatkan kehilangan berkenaan sebagai satu ujian yang amat berat, khususnya buat keluarga dan anak-anak Allahyarham yang masih kecil.
Beliau mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran kepada keluarga Allahyarham untuk menghadapi hari-hari mendatang.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain mendapat sokongan dan pembelaan sewajarnya.
“Justeru, ingatan dan doa saya, Azizah serta keluarga sentiasa bersama seluruh keluarga dan waris mangsa,” katanya.
Baca juga:
- Anwar titip penghormatan buat Kapten Zainol, kenang jasa ketika kempen PRU15
- ‘Dr Ainul, anak Kelantan, perginya ketika sedang berkhidmat demi kemanusiaan’ – MB Kelantan
- Kerajaan Sarawak sumbang RM100,000 kepada keluarga petugas FDS terkorban

Sebelum ini, sahabat Allahyarham, Amirul Hakeem berkongsi kenangan Allahyarham bersama Anwar ketika kempen PRU15 pada 2022.
Dalam hantaran yang ditujukan kepada Anwar, Amirul berkata beliau pernah menjadi sebahagian daripada kru ketika kempen berkenaan dan membantu juruterbang dalam urusan koordinasi penerbangan ketika Anwar menaiki helikopter bersama mereka.
Amirul berkata, Kapten Zainol merupakan juruterbang yang menerbangkan Anwar sepanjang beberapa hari kempen tersebut dan Allahyarham amat berbesar hati kerana berpeluang membawa pemimpin berkenaan.
Menurut Amirul, Allahyarham sering mengenang pengalaman tersebut dengan penuh penghargaan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang sangat bermakna.
Beliau kemudian memaklumkan kepada Anwar mengenai pemergian Kapten Zainol selepas Allahyarham terlibat dalam nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak.
“Beliau seorang yang sangat baik dan sahabat yang sangat saya sayangi,” katanya.
Dukacita pemergian sahabat
Amirul berkata beliau amat berdukacita dengan berita pemergian Allahyarham dan berharap Anwar mengetahui berita berkenaan memandangkan mereka pernah bersama sepanjang kempen PRU15.
Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan agar Allah SWT mengasihani, mengampunkan segala dosa serta melimpahkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan mangsa lain yang terkorban, selain menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada.
“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” katanya.









