Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Nazri Aziz menegaskan bahawa Anwar Ibrahim adalah pilihan terbaik untuk kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU16, memandangkan tiada calon lain yang dilihat berpotensi memimpin negara.
Nazri yang baru menamatkan tugas sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, kembali ke kancah politik tempatan dengan memberi sokongan penuh kepada Anwar bagi memastikan kestabilan politik berterusan. Namun, beliau bimbang dengan masa depan negara tanpa Anwar.
“Tanpa PMX, siapa yang layak jadi perdana menteri? Kita kekurangan pemimpin yang tidak bermain sentimen perkauman dan agama,” katanya yang menegaskan kestabilan negara bergantung kepada kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu yang dilihat mampu menyatukan pelbagai pihak dalam kerajaan perpaduan.
Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut menyatakan komitmennya untuk menyokong Anwar dalam PRU16, termasuk turun padang berkempen dan memainkan peranan aktif untuk memastikan Anwar kekal memimpin negara.
“Saya akan lakukan yang terbaik untuk pastikan Anwar menang, sebab tiada calon lain yang mampu ambil alih sekiranya Anwar tiada,” kata Nazri.
Umno kekurangan calon PM berwibawa?
Menyentuh mengenai situasi dalam Umno yang kini hanya memiliki 26 kerusi di Dewan Rakyat, Nazri berpendapat adalah sukar untuk Umno menamakan calon perdana menteri. Lebih-lebih lagi Umno kini berdepan krisis kepimpinan kerana ketiadaan calon yang jelas dan berwibawa.
Ketika ditanya mengenai potensi calon dari Umno, beliau secara sinis menyebut Ketua Pemuda Umno, Dr Mohd Akmal Saleh, sambil menambah, “Siapa yang layak? Akmal? Bahkan kamu sendiri pun tidak boleh sebut satu nama.”
Dalam pada itu, Nazri juga menjelaskan pandangan Ketua Pemuda Umno tidak mencerminkan keseluruhan parti kerana hanya mewakili satu daripada empat sayap utama dalam Umno, iaitu Pemuda, Wanita, Puteri, dan Umno induk.
Kestabilan politik & kerjasama Pakatan
Mengulas mengenai kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH), bagi Nazri ia adalah langkah terbaik untuk memastikan kestabilan politik negara dan kerjasama ini perlu diteruskan bagi mengelakkan perpecahan politik yang boleh menjejaskan pembangunan negara.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai “majoriti senyap” dalam Umno yang tidak bersetuju dengan pendirian keras Ketua Pemuda Umno dalam beberapa isu sensitif, termasuk hubungan dengan DAP.
Nazri menyifatkan Pemuda Umno sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, dan pandangan mereka tidak seharusnya menjadi penentu hala tuju parti secara keseluruhan.
Sumber: MalaysiaKini








