'Saya guna kuasa demi pulangkan duit rakyat' - PM | The Reporter

‘Saya guna kuasa demi pulangkan duit rakyat’ – PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama orang ramai
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim | Kredit gambar: Pejabat Perdana Menteri / FB Anwar Ibrahim

PM tegaskan kekayaan haram mesti dikembalikan, cukai disasar pada golongan kaya, bukan rakyat biasa

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan berdiam diri apabila ada pihak mengumpul kekayaan secara haram. Sebaliknya, sebagai Perdana Menteri, beliau akan menggunakan kuasa yang ada untuk menuntut semula wang tersebut demi kepentingan rakyat.

Menurut Anwar, dakwaan bahawa beliau menyalahgunakan kuasa tidak akan melemahkannya, malah beliau mengakui secara terbuka bahawa kuasa itu memang digunakan, bukan untuk menindas, tetapi untuk memperbetul ketidakadilan.

“Orang kata saya guna kuasa, ya memang betul. Saya nak guna peluang ini, wang yang diambil secara haram mesti dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya semasa berucap dalam Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di UiTM Cawangan Pulau Pinang, semalam.

Baca juga:

RM1 bilion kekayaan, tapi perjuangkan Melayu?

Anwar turut mempersoalkan kewajaran sesetengah tokoh politik yang mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu, namun dalam masa yang sama mengisytiharkan kekayaan mencecah berbilion ringgit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ada yang kumpul harta, mengucap panjang saya tengok. Semua bilion-bilion. Ada anak bekas pemimpin yang isytihar kepada SPRM hartanya lebih RM1 bilion.

“Nak kata perjuang untuk Melayu? Silakan… tapi kalau kau ambil RM1 bilion, bagilah balik.”

Cukai bukan beban rakyat, hanya untuk yang kaya

Anwar turut menepis tuduhan kononnya kerajaan menindas rakyat dengan menaikkan cukai. Sebaliknya, beliau menegaskan dasar percukaian kerajaan kini hanya menyasarkan syarikat besar dan golongan berpendapatan tinggi.

Sebagai contoh, tarif elektrik hanya dinaikkan 15 peratus untuk industri besar yang merekodkan keuntungan besar, bukan untuk pengguna biasa.

“Tengok saya kenakan (kenaikan) elektrik 15 peratus tertinggi, industri ini syarikat-syarikat besar ada keuntungan besar, jadi bayarlah lebih sikit. Yang kamu susah hati sebab apa?”

Beliau menambah, dana hasil cukai itu penting untuk membiayai pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih baik, dalam keadaan negara berdepan hutang yang besar.

“Kalau tak cari dana, bagaimana nak sediakan pendidikan, pekerjaan? Hutang negara besar, kalau tak bayar nanti bankrap.”

Tak ambil gaji, bukan sebab nak tunjuk bagus

Dalam ucapan sama, Anwar turut mendedahkan sepanjang hampir tiga tahun sebagai Perdana Menteri, beliau belum pernah mengambil gaji jawatan itu. Malah, elaun sebagai Pengerusi Khazanah yang dianggarkan antara RM3 hingga RM4 juta juga tidak disentuh.

“Saya tak ambil gaji sebab apa? Bukan saya miskin. Elaun Parlimen saya ambil, cukuplah. Banyak lagi orang yang susah.

Kalau nak campur semua gaji, elaun sebagai Pengerusi Khazanah, rasa ada dalam RM3 ke RM4 juta. Tapi saya tak ambil. Bukan nak cakap saya bagus, tapi cukuplah, jaga rakyat yang lain.”

Cabaran global perlukan kestabilan politik

Anwar turut mengingatkan kemelut ekonomi bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Justeru, kestabilan politik adalah syarat penting bagi negara menghadapi cabaran ini dengan lebih berkesan.

“Siapa kata Malaysia tak ada masalah? Satu dunia pun tengah hadapi masalah. Saya bukan cakap ikut sentimen, orang maki hamun saya hari-hari pun saya tahu, itu kerja mereka.”

Sumber: Harian Metro

Related Posts