Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meluangkan masa menziarahi pelawak Mohammad Amirullah Azmi atau Amir Raja Lawak di Kota Bharu semalam, selepas mengetahui bapanya sedang bertarung dengan masalah kesihatan serius.
Pertemuan itu berlangsung di tengah-tengah perhatian ramai terhadap isu saman difailkan stesen televisyen terhadap Amir baru-baru ini.
Singgah di restoran sebelum pulang
Dalam hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau singgah di restoran milik Amir yang terletak tidak jauh dari Stadium Sultan Muhammad IV sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kunjungan itu bertujuan memberikan sokongan moral kepada Amir yang kini berdepan pelbagai ujian, termasuk keadaan kesihatan bapanya.
Baca juga:
- Pramugara Hafeez dilaporkan kritikal
- Guna aplikasi navigasi, lima warga China cedera kereta terjunam ke gaung di Machang
- Dari LRT2 ke LRT3, legasi seorang bapa diteruskan anak
“Saya zahir simpati pada saudara Amir yang berdepan ujian apabila bapanya menghidap masalah kesihatan yang serius.
“Saya titipkan pesan supaya beliau terus tabah berdepan dugaan ini dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban ujian yang dihadapi,” katanya.
Doa dan sokongan
Anwar turut mendoakan agar Amir dimurahkan rezeki, dipermudahkan urusan dan bapanya diberikan kesembuhan. Beliau berharap bantuan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga pelawak berkenaan.
Sebelum ini, Amir mendedahkan beliau masih belum menerima bayaran bagi sebuah projek televisyen yang dianggarkan berjumlah RM18,000, dan wang itu diperlukan untuk membiayai rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.
Pendedahan itu mencetuskan perhatian awam sehingga membawa kepada tindakan undang-undang oleh stesen televisyen terbabit terhadap Amir dan beberapa individu lain, atas dakwaan kenyataan berunsur fitnah.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim








