Anjing jalanan, Kopi, mati 'ditembak' oleh pihak tidak bertanggungjawab | The Reporter

Anjing jalanan, Kopi, mati ‘ditembak’ oleh pihak tidak bertanggungjawab

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


JERTEH, TERENGGANU – Seekor anjing jalanan yang dikenali sebagai Kopi, mati disyaki ditembak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, dua hari selepas Hari Haiwan Sedunia.

Kejadian yang berlaku pada hari Ahad lalu mengundang kemarahan banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan zalim pihak berkenaan.

Menurut seorang saksi yang juga penduduk berkata, dia terdengar bunyi tembakan kuat di kawasan kejiranannya. Sebaik saja keluar dari ruma, dia mendapati anjing tersebut terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Walaupun usaha menyelamatkannya dilakukan, Kopi tidak dapat diselamatkan dan mati di lokasi kejadian.

Haiwan itu dikenali oleh penduduk sekitar dan diberi gelaran ‘kakak besar’ kepada kucing dan anak anjing di kawasan tersebut, disayangi ramai kerana sifatnya yang lembut dan tidak berbahaya.

Saksi berkata, Kopi tidak pernah menyusahkan sesiapa dan selalu melindungi haiwan-haiwan lain.

MBKT nafi dakwaan tembak mati anjing liar

Majlis Bandaraya Kuala Terenggan (MBKT) semalam telah mengeluarkan kenyataan penafian terhadap dakwaan kononnya kematian anjing tersebut didalangi oleh kakitangannya.

Menurut kenyataan MBKT, pihaknya tidak menggunakan sebarang senjata seperti senapang ketika melakukan operasi penangkapan anjing liar. Sebaliknya hanya menggunakan kaedah penahanan perangkap sahaja mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

“Tiada operasi kami menggunakan kaedah tembakan sama ada menggunakan peluru hidup atau pelali. Lagipun MBKT tiada senapang untuk digunakan dalam sebarang operasi,” kata MBKT.

Gesa tindakan tegas

Sementara itu, beberapa badan NGO mula mendesak Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar campur tangan untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

“Insiden ini mendedahkan betapa lemahnya pengurusan haiwan terbiar di negara kita, yang sepatutnya berlandaskan perikemanusiaan dan tanggungjawab.

“Setiap haiwan termasuk anjing terbiar seperti Kopi berhak hidup dengan aman tanpa penderaan. Menembak mati haiwan terbiar bukanlah penyelesaian yang wajar,” kata NGO Organisasi Haiwan Malaysia.

Related Posts