Anggota polis wanita maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja | The Reporter

Anggota polis wanita maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

Kereta yang dipandu anggota polis wanita terbabit dalam kemalangan.
Gambar: Facebook JBPM Johor.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang anggota polis wanita maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 28, Jalan Gelang Patah–Pendas, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu berlaku ketika mangsa, Koperal Fairuzfadila Musa, 37, dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Mangsa memandu Proton Saga dari arah Gelang Patah menuju ke Balai Polis Taman Universiti, Skudai. Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Proton Waja dari arah bertentangan dipercayai membelok ke simpang kiri secara tiba-tiba dan melanggar lampu isyarat merah.

“Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua pemandu mengalami kecederaan parah dan segera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan,” katanya.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

“Pemandu Proton Waja, seorang wanita berusia 41 tahun, masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di HSA. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya lagi.

Baca juga:

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, PBK II (KUP) Nurmala Sideli memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.33 pagi sebelum menghantar tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) ke lokasi.

“Kedua-dua mangsa didapati tersepit dalam kenderaan masing-masing. Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas penyelamatan kemalangan jalan raya (RTA) untuk mengeluarkan mereka,” katanya.

Sumber: Sinar Harian, JBPMJohor

Related Posts