Seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun tampil membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang anggota polis berpakaian awam di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru.
Kejadian itu menjadi tular di media sosial menerusi satu rakaman video yang mencetuskan persoalan mengenai tindakan anggota terbabit.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, mangsa telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk pemeriksaan lanjut terhadap motosikalnya sebelum membuat laporan. Susulan dakwaan tersebut, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
“Siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan berintegriti. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Dipanggil bertugas ketika dalam tempoh bercuti
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad menjelaskan bahawa anggota polis berpangkat konstabel yang terlibat sebenarnya dipanggil bertugas bagi membantu Ops Motosikal yang dijalankan IPD Johor Bahru Utara, walaupun pada asalnya berada dalam tempoh cuti.
Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota berkenaan cuba menahan motosikal mangsa yang didakwa cuba melarikan diri.
“Satu operasi trafik sedang dijalankan. Ketika cuba menahan motosikal itu, mangsa dikatakan cuba melarikan diri dan tindakan tampar tersebut dipercayai berlaku secara spontan,” katanya.
Ab Rahaman turut memaklumkan bahawa laporan polis pertama dibuat oleh pihak polis sebaik video kejadian tular, sebelum mangsa sendiri membuat laporan pada malam hari yang sama. Setakat ini, empat individu termasuk anggota polis terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan, manakala beberapa saksi lain akan dipanggil dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sedang dikesan.
Mengulas status anggota berkenaan, beliau berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu tidak digantung tugas atau ditahan reman, namun tidak dibenarkan menjalankan tugas operasi sehingga siasatan selesai. Anggota tersebut difahamkan mula berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia sejak 2022.
Sumber: Harian Metro








