Teori mesin basuh hanya andaian sahaja
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kes kematian tragis pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, semakin dicemari dengan penyebaran spekulasi atau teori yang tidak berasas di media sosial. Sedangkan siasatan rasmi masih berjalan, muncul pula beberapa individu yang memandai-mandai menyebar cerita palsu hingga mengganggu proses siasatan.
Antara dakwaan paling tular ialah kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh oleh pelajar lain di asrama. Dua individu dikesan menyebarkan teori ini ialah seorang wanita yang mengaku guru melalui video TikTok, dan seorang lagi pengguna Facebook bernama “Butik Pelamin Pengantin” yang meninggalkan komen spekulatif.
Namun hasil semakan mendapati kedua-dua dakwaan itu tidak berasas sama sekali. Pemilik akaun Facebook mengaku bahawa kenyataannya hanya andaian peribadi, bukan berdasarkan maklumat sebenar. Sementara wanita di TikTok itu pula tidak dikenali oleh keluarga mangsa.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Keluarga mangsa tidak mengenali penyebar fitnah
Seorang individu bernama Mona Din turut tampil menjelaskan bahawa ibu Zara sendiri tidak pernah mengenali mana-mana individu yang membuat dakwaan tersebut. Malah, kenyataan-kenyataan yang dikaitkan dengan keluarga mangsa adalah tidak benar dan boleh disifatkan sebagai fitnah.
Mona juga mendedahkan beliau telah menghubungi pemilik akaun Facebook terbabit dan individu itu mengakui sendiri bahawa kenyataan tentang mesin basuh adalah andaian semata-mata.


Polis dan Peguam Negara sedang teliti kes
Pihak polis Sabah telah mengambil lebih 60 kenyataan saksi sepanjang siasatan dijalankan. Laporan awal telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan keputusan sama ada inkues akan diadakan kini sedang dipertimbangkan.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau memberi tekanan kepada keluarga mangsa.
Penyebaran maklumat palsu berkaitan kes jenayah yang masih dalam siasatan adalah satu kesalahan serius. Individu yang menyebarkan kandungan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dan pencemaran nama baik.
Orang ramai diingatkan untuk hanya merujuk kepada maklumat sahih daripada pihak berkuasa atau wakil rasmi keluarga. Apa-apa teori atau cerita rekaan yang tidak disahkan bukan sahaja menyesatkan, tetapi juga boleh merosakkan proses mendapatkan keadilan untuk arwah Zara.








