Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pengguna TikTok, Yaisyahaha, berkongsi kisah menyayat hati tentang ibunya yang menjadi mangsa scammer sehingga memberi kesan besar kepada keluarga mereka.
Video dan catatan yang dikongsikan menggambarkan tekanan emosi yang dialami apabila Ummi bertindak luar kawalan kerana ingin mematuhi kehendak scammer tersebut.
Dalam video tersebut, Yaisyahaha menceritakan bagaimana ibunya mengamuk apabila tidak dibenarkan pergi ke Mydin.
“Hari ini Ummi mengamuk sebab tak dapat pergi Mydin. Semua benda dia terbalikkan, campak-campak barang,” tulisnya.
Menurut Yaisyahaha, larangan itu dibuat kerana risau ibunya akan menjadi mangsa scam sekali lagi, namun keadaan menjadi lebih rumit apabila Ummi mahu ke bank untuk memindahkan wang kepada scammer dan mengugut mencederakan diri jika kehendaknya tidak dituruti, menyebabkan Yaisyahaha terpaksa memenuhi permintaan tersebut demi keselamatan.
“Bukan tak nak bawa Ummi ke Mydin. Tapi sebab Ummi nak pergi Maybank then transfer duit dekat scammer,” tambahnya.
Tanggung banyak hutang
Dia juga mendedahkan bahawa ibunya telah menanggung hutang besar selepas kerap meminjam duit daripada orang lain untuk diberikan kepada scammer tersebut.
Yaisyahaha turut merayu kepada masyarakat agar tidak mudah terpedaya jika dihubungi oleh ibunya dengan cerita sedih, kerana mereka sebagai anak-anak berusaha keras mencari rezeki untuk Ummi, tetapi wang tersebut akhirnya jatuh ke tangan scammer.
Di penghujung catatan, Yaisyahaha memohon maaf kepada mereka yang mungkin terlibat dalam situasi ini dan berjanji akan cuba menyelesaikan hutang yang telah ditanggung.
Sindiket sasar golongan warga emas
Dalam ruangan komen, ramai netizen turut berkongsi pengalaman serupa, di mana ibu bapa mereka menjadi mangsa penipuan scammer. Salah seorang pengguna mendedahkan bagaimana ibunya pernah terpedaya untuk memindahkan wang, malah ada yang berdepan dengan tekanan emosi akibat desakan untuk memenuhi permintaan scammer.
Ada juga cadangan seperti menukar nombor telefon ibu secara senyap-senyap atau melibatkan mereka dalam aktiviti lain untuk mengalihkan perhatian daripada scammer.
Seorang lagi pengguna bercerita bahawa ibunya hampir kehilangan ribuan ringgit akibat tawaran hadiah palsu, manakala yang lain menceritakan usaha gigih keluarga memastikan ibu mereka tidak terus terperangkap dengan sindiket ini, termasuk mengambil langkah drastik seperti mengawal akses kepada wang tunai.
Situasi ini menunjukkan betapa liciknya taktik scammer yang menyasarkan golongan ibu bapa, yang kadangkala sukar memahami niat jahat di sebalik kata-kata manis. Netizen menyarankan agar langkah proaktif diambil, termasuk memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai bahaya penipuan ini dan tidak membiarkan mereka terjebak lebih jauh.