Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dilanggar sebuah lori kontena dalam kejadian awal pagi Sabtu di Kilometer 30, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, Perak. Kejadian menyayat hati itu berlaku sekitar jam 3 pagi ketika haiwan berkenaan dipercayai sedang melintas jalan.
Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 3.30 pagi dan telah menghantar pasukannya ke lokasi.
Setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati seekor anak gajah seberat kira-kira 700 kilogram itu ditemui tersepit di bawah lori yang membawa muatan ayam. Lebih menyayat hati, seekor gajah betina dipercayai ibu kepada anak gajah itu dilihat cuba menolak lori berkenaan seolah-olah mahu mengeluarkan anaknya yang sudah tidak bernyawa.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, ibu gajah itu dianggarkan berusia antara 25 hingga 27 tahun dengan berat melebihi dua tan. Ia dilihat setia berdiri di sisi anaknya tanpa berganjak sehinggalah berjaya dialihkan oleh anggota Perhilitan ke kawasan yang lebih selamat. Bangkai anak gajah tersebut pula akan ditanam mengikut prosedur yang ditetapkan.
Video berdurasi lebih satu minit yang tular di media sosial menunjukkan detik menyedihkan itu di mana ibu gajah berdiri di tepi lori dan cuba menolak bahagian hadapan kenderaan tersebut.
Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan simpati terhadap haiwan berkenaan, malah menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan hidupan liar di kawasan itu.
Laluan gajah di JRTB bukan baharu, tapi bahaya tetap berulang


Difahamkan, Jalan Raya Timur-Barat yang melintasi kawasan habitat semula jadi gajah termasuk Royal Belum dan Hutan Simpan Temenggor sememangnya dikenali sebagai laluan pergerakan gajah. Sejak 2023, Perhilitan telah memasang lebih 10 papan tanda amaran lintasan hidupan liar di sepanjang laluan itu, namun kejadian seumpama ini masih berlaku.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Bagaimanapun, sehingga kini, pemandu lori yang terlibat belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut.








