Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Legenda rock tanah air, Datuk Amy Search, bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April 2025.
Konsert yang dinamakan “Amy Search Magic Konsert Solo Pertama” ini menjadi satu pencapaian baharu dalam kariernya yang telah bertahan lebih empat dekad dalam industri muzik.

Perjalanan baharu selepas 44 tahun
Selepas 44 tahun mencipta fenomena bersama Search, Amy kini bersedia menonjolkan sisi lebih peribadi kepada peminat. Konsert ini dibawakan oleh The White Group dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia, menjanjikan satu persembahan epik yang bakal dikenang.
Menurut Amy, “Setiap lagu yang akan saya nyanyikan nanti adalah cerminan daripada warna kehidupan saya. Setiap nota dan lirik membawa kisah yang berbeza, melambangkan suka duka yang saya lalui dalam industri ini. Saya berharap konsert ini akan memberi ruang kepada peminat untuk merasai segala perasaan yang saya alami sepanjang perjalanan ini.”
“Melalui konsert solo ini, saya ingin mempersembahkan bukan sahaja muzik, tetapi juga jiwa saya. Lagu-lagu yang akan saya bawakan adalah bukan sekadar hits, tetapi juga pengalaman hidup yang telah membentuk siapa saya hari ini. Peminat akan dapat melihat sisi peribadi saya yang jarang mereka ketahui,” tambahnya lagi.

Persembahan bertaraf antarabangsa
Konsert ini turut mendapat sokongan penuh daripada anggota Search seperti Nasir, Hillary, dan Man Kidal, menegaskan hubungan mereka kekal erat meskipun Amy menjayakan konsert ini secara solo.
Dari aspek muzik, konsert ini bakal menampilkan barisan pemuzik terbaik dalam industri, memastikan setiap persembahan mencapai standard tertinggi. Turut terlibat ialah Jennifer Thompson, seorang pengarah konsert berpengalaman, yang berjanji akan memberikan pengalaman penuh emosi kepada peminat.

Menurut Jennifer, “Datuk Amy adalah ikon rock tanah air yang tidak memerlukan pengenalan. Konsert ini adalah peluang untuk kita meraikan kariernya yang luar biasa. Kami berjanji untuk menghadirkan pengalaman yang penuh emosi dan keajaiban buat peminat.”
Tiket mula dijual Februari
Tiket konsert akan mula dijual pada 5 Februari 2025 melalui www.wowtix.com.my dengan harga:
- RM188 (Cat 6 – Tiada Lagi)
- RM288 (Cat 5 – Gita Rama Sita)
- RM388 (Cat 4 – Kerja Gila)
- RM538 (Cat 3 – Kamilah Cinta)
- RM608 (Cat 2 – Saatku Idamkan)
- RM788 (Cat 1 – Rock Royalty)

Amy dan pasukannya kini dalam fasa akhir persiapan, dari pemilihan lagu hingga ke aspek teknikal, bagi memastikan konsert ini meninggalkan impak luar biasa kepada penonton.
Antara lagu yang dijangka menghangatkan konsert ini termasuk “Isabella” dan “Fantasia Bulan Madu”, membawa peminat mengimbau nostalgia sambil mencipta memori baharu.
Menurut Amy, “Saya percaya konsert ini akan menjadi satu kenangan yang sukar dilupakan, kerana ia akan dipenuhi dengan warna kehidupan saya yang penuh dengan pelbagai emosi. Dengan tema ‘Magic’, saya berharap peminat akan merasakan betapa istimewanya perjalanan ini, yang telah memberi saya segala kejayaan yang saya nikmati hari ini.”
Selain memberikan persembahan terbaik, Amy turut berharap konsert ini menjadi inspirasi kepada generasi baharu pemuzik untuk terus memperjuangkan seni tanah air.
Sumber: Hai Selebriti








