‘Jika saya boleh menolak, mengapa Ismail tandatangan?’ - Aminuddin | The Reporter

‘Jika saya boleh menolak, mengapa Ismail tandatangan?’ – Aminuddin

Datuk Seri Aminuddin Harun mengulas isu dokumen proklamasi Negeri Sembilan
Aminuddin Harun menggesa Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan isu tandatangan dokumen proklamasi kepada rakyat.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim supaya menjelaskan kepada rakyat fakta sebenar berhubung kemelut melibatkan adat dan institusi diraja negeri itu, termasuk isu tandatangan pada dokumen proklamasi berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Aminuddin berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya pentadbiran terdahulu mahu dipersoalkan, namun sebarang dakwaan perlu disertakan fakta, dokumen, tarikh serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) yang didakwa dilanggar.

Menurutnya, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 pernah dikemukakan kepadanya sehari kemudian ketika masih menjadi Menteri Besar untuk ditandatangani dengan merujuk proses di bawah Perkara 10 UUTKNS.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak menandatangani dokumen itu kerana mendakwa terdapat persoalan mengenai proses yang dilalui, termasuk berkaitan keperluan siasatan yang penuh dan lengkap serta pertikaian kedudukan salah seorang pihak terlibat sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Baca juga:

Aminuddin berkata, pendirian itu dibuat berdasarkan nasihat undang-undang kerana beliau berpandangan tandatangan tidak seharusnya diberikan terhadap dokumen yang membawa implikasi besar kepada institusi diraja selagi persoalan mengenai proses dan kesahihannya belum diperjelaskan.

Beliau kemudian mempersoalkan bagaimana dokumen sama didakwa ditandatangani Ismail selepas mengambil alih jawatan Menteri Besar pada 3 Ogos lalu, sedangkan Ismail kemudiannya mendakwa tandatangan tersebut dibuat dalam keadaan dipaksa.

Jelaskan kepada rakyat

Menurut Aminuddin, dakwaan berhubung paksaan itu telah dibawa kepada pihak berkuasa dan siasatan perlu diberikan ruang untuk menentukan fakta sebenar tanpa prejudis. Namun, beliau berpandangan Ismail masih perlu menjelaskan kepada rakyat keadaan yang menyebabkan tandatangannya berada pada dokumen berkenaan.

Aminuddin menegaskan beliau bersedia bertanggungjawab terhadap setiap keputusan ketika menjadi Menteri Besar dan meminta sebarang dakwaan terhadap pentadbirannya disokong rekod serta peruntukan undang-undang, selain menegaskan isu melibatkan UUTKNS, Adat Perpatih dan institusi Yang di-Pertuan Besar perlu dijelaskan berdasarkan fakta serta proses sebenar.

Related Posts