'Kami takkan tunduk!' - Iran beri amaran jika AS campur tangan | The Reporter

‘Kami takkan tunduk!’ – Iran beri amaran jika AS campur tangan

Donald Trump arah jari ke hadapan, Ayatollah Khamenei tenang berdiri di sebelah
Ketegangan memuncak antara Trump dan Khamenei selepas Iran beri amaran tidak akan tunduk jika AS campur tangan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Khamenei beri amaran kepada AS, tolak tuntutan Trump untuk menyerah
• Trump masih belum buat keputusan tetapi beri isyarat tindakan agresif
• Israel terus bom Tehran, rakyat Iran tinggalkan ibu kota

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menolak tegas desakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mahu Iran menyerah tanpa syarat. Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Rabu, Khamenei memberi amaran sebarang campur tangan tentera oleh AS akan membawa akibat yang tidak dapat dipulihkan.

“Amerika perlu tahu sebarang campur tangan ketenteraan pasti akan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya yang turut menegaskan rakyat Iran bukan bangsa yang mudah diugut.

“Orang yang bijak dan memahami Iran, rakyatnya dan sejarahnya tidak akan bercakap kepada negara ini dengan bahasa ugutan kerana rakyat Iran tidak akan tunduk,” katanya lagi.

Trump beri bayangan tindakan lebih keras, tapi masih belum buat keputusan

Trump enggan mengesahkan sama ada beliau akan menyertai kempen pengeboman Israel terhadap Iran.

“Ada perbezaan besar antara sekarang dan seminggu lepas. Tiada siapa tahu apa yang saya akan lakukan,” katanya.

Trump mendakwa Iran telah cuba menghubungi pihaknya, tetapi sudah terlambat untuk berbincang. Beberapa jam sebelum itu, Trump memuat naik kenyataan di media sosial menuntut Iran menyerah tanpa syarat dan turut memberi bayangan terhadap niat untuk menghapuskan Khamenei.

Ribuan tinggalkan Tehran, Israel terus lancar serangan udara

Dalam masa yang sama, ribuan rakyat Iran dilaporkan telah keluar dari Tehran apabila Israel meningkatkan serangan udara secara besar-besaran ke atas ibu negara itu.

Tentera Israel mengesahkan 50 jet pejuangnya telah mengebom lebih 20 lokasi strategik termasuk pusat pengeluaran komponen peluru berpandu. Mereka turut menggesa penduduk berpindah dari kawasan berisiko demi keselamatan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, “Seperti yang kami janjikan, kami akan terus menyerang simbol-simbol pemerintahan dan menghentam rejim Ayatollah di mana saja mereka berada.”

Israel turut mendakwa berjaya memusnahkan ibu pejabat keselamatan dalaman Iran dalam siri serangan terbaru tersebut.

Sumber: Reuters

Related Posts