Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kenyataan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali berhubung amalan tahlil sebagai sesuatu yang boleh mengguris perasaan orang Melayu serta tidak sepatutnya dijadikan bahan permainan politik.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, walaupun tahlil sering menjadi perbahasan dalam kalangan ilmuan Islam, amalan itu telah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Melayu sejak sekian lama dan dipenuhi dengan bacaan ayat al-Quran, selawat, zikir serta doa yang tidak bercanggah dengan syariat.
Menurutnya, sama ada tahlil dianggap sebagai syariat atau sebaliknya, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mana-mana pihak mempermainkan amalan tersebut atau menyindir mana-mana ahli politik, khususnya individu bukan Islam, seolah-olah mereka turut mengamalkannya.
“Tindakan seperti ini hanya akan menyemarakkan api perkauman kerana amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran terhadap orang bukan Melayu, apatah lagi ia melibatkan amalan dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Faiz turut menyifatkan situasi politik semasa sebagai sesuatu yang malang apabila wujud pihak yang mendakwa mahu menyatukan umat Islam dengan memainkan naratif bahawa Islam sedang terancam, namun pada masa sama berdiam diri terhadap kenyataan berhubung amalan tahlil itu.
Baca juga:
- ‘Ini semua ketentuan Allah, saya tak salahkan sesiapa’ – Ismahalil
- Anwar nafi sekat peruntukan, tegas dana terus kepada rakyat
- Bekas penyampai radio Ismahalil dihukum penjara 30 tahun
Beliau turut mengkritik PAS yang menurutnya tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan Exco Pemuda UMNO berkenaan.
“Adalah malang dalam suasana politik hari ini apabila gelombang penyatuan umat cuba memesong pemikiran orang Melayu kononnya Islam terancam, tetapi PAS membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda UMNO tersebut.
“Demi kuasa, PAS tidak lagi bersuara dalam isu Islam sebagaimana isu cabutan khas judi yang dinaikkan daripada lapan kepada 22 ketika memerintah bersama Perikatan Nasional dahulu,” katanya.
Sehubungan itu, Faiz menggesa Wan Muhammad Zuhir menarik balik kenyataan berhubung amalan tahlil serta memohon maaf atas keterlanjuran kenyataan yang dikeluarkan.








