Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa menerima beberapa aduan berkaitan penyelewengan dana melibatkan Projek Sejati MADANI di Terengganu yang sepatutnya bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti dan kampung.
Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mendakwa penyelewengan tersebut dipercayai melibatkan individu yang mempunyai pengaruh politik di negeri itu.
Menurutnya, projek yang sepatutnya membantu golongan bawahan telah diambil kesempatan oleh pihak tertentu yang menggunakan kedudukan serta pengaruh politik bagi menyalurkan wang kepada firma sendiri sehingga menyebabkan projek berkenaan gagal.
Tiada pembelaan
Memetik laporan Harapan Daily, Raja Kamarul berkata, beberapa aduan telah dibuat kepada pihak atasan sebelum ini, namun dakwanya tidak mendapat pembelaan sewajarnya sehingga mangsa terpaksa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.
“Saya telah menerima beberapa aduan kes melibatkan Projek Sejati MADANI yang dananya didakwa diseleweng melalui perbuatan pecah amanah oleh pihak yang berkedudukan dalam politik di negeri Terengganu.
“Aduan kepada pihak atasan tidak berhasil sehingga mangsa-mangsa terpaksa membuat aduan kepada SPRM dan juga membuat laporan polis.
“Kerana tiada tindakan pihak berkuasa, pihak yang menjadi mangsa kini sedang menimbang untuk membawa kes ini ke mahkamah bagi menuntut keadilan,” katanya.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Dr Noraishah Mydin, umum tarik diri dari PKR
- Ucapan Ramanan dicelah Hassan Karim, cetus ketegangan di Konvensyen PKR Johor
Penglibatan ahli politik
Menurut Raja Kamarul Bahrin, individu yang terpalit dalam penyelewengan itu didakwa terdiri daripada ahli parti politik yang kononnya membantu menguruskan kejayaan projek, namun wang peruntukan sebanyak 97 peratus didakwa telah disalurkan ke akaun bank individu persendirian dalam tempoh satu malam.
Beliau mendakwa pemindahan wang tersebut dilakukan melalui tiga keping cek, manakala terdapat juga kes lain yang membabitkan pemindahan dalam tempoh tiga hari menggunakan tiga cek kepada syarikat individu yang sama.
“Modus operandi yang digunakan amat licik apabila firma yang sama digunakan oleh individu-individu yang sama.
“Salinan cek serta nombor dan jumlah bayaran cek bersama nama akaun milik individu serta carian pemilik firma telah dikemukakan kepada SPRM dan pihak polis,” jelasnya.
Tindakan tegas
Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengambil tindakan tegas berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Projek Sejati MADANI bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa berkenaan.
Katanya, kes yang didakwa melibatkan penganiayaan terhadap peserta projek itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan inisiatif tersebut diwujudkan bagi membantu penduduk yang kurang bernasib baik.








