Amalan pemberian 'ufti' dalam perkhidmatan awam perlu dihentikan - EAIC - The Reporter

Amalan pemberian ‘ufti’ dalam perkhidmatan awam perlu dihentikan – EAIC

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Amalan pemberian hadiah, keraian atau tajaan dalam program perkhidmatan awam yang dianggap sebagai tanda penghargaan dan hormat, kini dikhuatiri membuka ruang kepada rasuah jika tidak dikawal.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, budaya menyambut ketua jabatan atau pihak atasan dengan jamuan mewah dan pemberian hadiah perlu dihentikan atau dikurangkan secara telus.

Beliau mendedahkan terdapat aduan mengenai kakitangan yang terpaksa menyediakan peruntukan untuk menyambut ‘tetamu’ yang turun padang, termasuk jamuan makan malam dan bermain golf.

“Jika tiada peruntukan, mereka terpaksa meminta penajaan. Kadang-kadang mudah mendapat penajaan, kadang-kadang sukar atau terpaksa berurusan dengan aktiviti tidak sah untuk menyumbang kerana ‘bos’ mahu datang dan perlu menyediakan makan malam serta hadiah besar mengikut gred,” katanya.

Ismail menegaskan amalan ini membebankan kakitangan, terutama yang bergaji rendah dan boleh menjurus kepada budaya tidak sihat.

Beliau juga menyatakan, kakitangan terpaksa menyediakan sumbangan untuk majlis perpisahan atau kenduri kahwin melibatkan pihak atasan, menyebabkan mereka meminta ‘kutipan’ daripada sumber luar yang mempunyai urusan dengan jabatan atau agensi.

“Bos buat jamuan jemput semua anak buah, tetapi jika terlalu kerap, ia menjadi beban. Tidak cukup dengan makan, mereka minta kakitangan buat kutipan. Jika tiada, pegawai yang berkuasa akan meminta sediakan tempat sewa, meja dan makan,” tambahnya.

Justeru, Ismail menggesa amalan ini perlu dihentikan dan penjawat awam harus mematuhi Polisi Tiada Hadiah.

“Kita sudah ada Polisi Tiada Hadiah, laksanakan sahaja. Benda yang samar-samar mendatangkan banyak fitnah lebih baik dijauhkan,” katanya yang berharap agar budaya ini dapat dihapuskan demi menjaga integriti dan mengelakkan unsur rasuah dalam perkhidmatan awam.

Sumber: Bernama

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!