Pelbagai cara digunakan oleh penjual bagi melariskan jualan. Promosi secara besar-besaran dibuat bagi menarik perhatian pelanggan terutamanya wanita.
Baru-baru ini seorang penjual lelaki menarik perhatian ramai apabila menunjukkan tutorial memakai tudung yang dijual.
Kebanyakan wanita yang menonton sesi secara langsung jualan tudung itu memuji cara penjual itu yang dikatakan cekap membuat tutorial berbanding wanita. Tetapi, ada juga yang mempersoalkan tindakan lelaki itu apabila memakai atau menutup kepala menyerupai wanita.
Menjawab persoalan tersebut, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan Allah S.W.T melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan hukumnya adalah haram.
“Allah melaknat lelaki pakai pakaian untuk perempuan. Pakaikan pada patung.
“Hanya boleh ketika darurat sebagai contoh lelaki dirompak atau samun sehingga tiada pakaian. Dan lelaki ini terjumpa pakaian wanita di tengah jalan dan memakainya. Hukumnya tidak haram kerana menutup aurat,” jelasnya.
Sementara itu, netizen berkata teguran telah dibuat menerusi sesi siaran langsung jualan itu tetapi teguran itu seolah sia-sia. Berkemungkinan juga penjual tidak menyedari komen teguran yang ditinggalkan.
Sumber: Ustaz Azhar Idrus, TikTok