Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Alif Syukri mendedahkan yang beliau menerima ugutan saman dari sebuah syarikat beg tangan tempatan apabila reka bentuk beg tangan yang dijual oleh syarikatnya menyerupai reka bentuk beg tangan dari syarikat tersebut.
Dalam kenyataan di TikTok live, beliau menegaskan yang syarikatnya tidak meniru 100 peratus reka bentuk asal beg tangan tersebut. Sebaliknya mereka menghasilkan rekaan tersendiri yang berbeza dari segi perincian dan identiti jenama.
Beliau turut mengingatkan bahawa persaingan secara sihat dalam industri tempatan hendaklah dititikberatkan agar semua orang boleh membeli mengikut citarasa dan kemampuan masing-masing.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada penggunaan material berkilat oleh sesebuah jenama memberi hak eksklusif kepada mereka, sehingga jenama lain tidak dibenarkan menggunakan bahan yang sama dalam rekaan masing-masing.
Dalam sesi TikTok Live itu, Alif Syukri turut menunjukkan perincian yang terdapat pada beg tersebut yang menunjukkan rekaan yang berbeza dari segi reka bentuk, ruang dalaman, dan zip yang digunakan.
Rata-rata netizen menunjukkan sokongan terhadap usahawan itu di ruangan komen dengan berkata bahawa beg yang dijual oleh beliau jauh lebih murah dan pengalaman pengguna sebelum ini juga turut menunjukkan bahawa produknya boleh dipercayai.








