Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh meminta Menteri Besar Terengganu memberikan bukti berhubung dakwaan bulan dan bintang pada Jalur Gemilang yang dikibarkan di tepi pantai di negeri itu tercabut akibat angin kuat.
Beliau berkata, perkara itu perlu diperjelaskan bagi memastikan rakyat mengetahui keadaan sebenar susulan penularan isu bendera yang tidak mempunyai simbol bulan dan bintang.
Menurutnya, beliau menerima maklumat mengenai bendera berkenaan sebelum meminta Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu meninjau lokasi terbabit.
“Alhamdulillah, bendera itu sudah digantikan dengan yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.
Akmal berkata, beliau turut mengambil maklum kenyataan Menteri Besar Terengganu yang menjelaskan kejadian itu berpunca daripada kesilapan teknikal, apabila bulan dan bintang yang dijahit pada bendera berkenaan tercabut akibat angin kuat di kawasan pantai.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Besar mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menunjukkan bukti kesan jahitan pada bendera berkenaan bagi mengesahkan penjelasan tersebut.
“Biasanya kalau bulan dan bintang itu dijahit dan jatuh, mesti ada kesan jahitan di situ. Saya minta Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk minta MBKT tunjukkan ada atau tidak kesan jahitan yang jatuh dekat situ.
“Kalau ada, supaya rakyat dapat tahu yang mana satu betul, yang mana satu salah,” katanya.
Tindaskan tegas
Dalam pada itu, Akmal berkata sekiranya tiada kesan jahitan seperti didakwa, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang menggantung bendera berkenaan sekiranya mereka mengetahui bendera itu berada dalam keadaan cacat.
Beliau menegaskan soal kedaulatan Jalur Gemilang tidak seharusnya dipandang ringan dan pendirian sama perlu diambil terhadap sebarang unsur sabotaj atau perbuatan yang disengajakan.
Baca juga:
- ‘Tak perlu kumpulkan 222 Ahli Parlimen untuk dengar ‘podcast’ kerajaan’ – Wan Fayhsal
- ‘Parlimen bukanlah one-man show’ – Syed Saddiq bidas pembangkang
- Anwar persoal tindakan pembangkang keluar Dewan ketika isu RCI Tabung Haji dibahas
Akmal turut merujuk kes di Pulau Pinang yang menurutnya melibatkan Jalur Gemilang diterbalikkan secara sengaja dan berkata kes berkenaan masih berjalan.
“Pendirian saya tegas juga di Terengganu. Kalau ada unsur-unsur yang dikatakan sabotaj, maka ambil tindakan kepada mereka yang gantung bendera ini, sudah tahu cacat dan masih lagi gantung.
“Dan jika tiada, maka tunjukkan kepada kita bukti bahawa bulan dan bintang itu jatuh dan kesan jahit betul supaya rakyat dapat tahu,” katanya.
Beliau turut menggesa Menteri Besar Terengganu bersikap tegas serta membuktikan bahawa penjelasan mengenai insiden itu adalah benar.








