Air laut melimpah! Jakarta Utara banjir akibat air pasang & tanah mendap | The Reporter

Air laut melimpah! Jakarta Utara banjir akibat air pasang & tanah mendap

Banjir akibat air pasang
Sumber gambar: Merdeka.com

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Beberapa kawasan di Jakarta Utara seperti Muara Angke dan Penjaringan dilaporkan mengalami banjir air pasang selama empat hari berturut-turut sejak Jumaat lalu (13/12/2024). Ketinggian air dicatatkan antara 25 sentimeter hingga satu meter, dengan banjir bermula pada waktu pagi sekitar pukul 6.00 hingga 9.00 pagi WIB sebelum surut secara semula jadi menjelang petang.

Banjir air pasang yang melanda beberapa kawasan di Jakarta Utara dan Kepulauan Seribu dalam beberapa hari kebelakangan ini disebabkan oleh paras air laut yang meningkat tinggi serta fenomena mendapan tanah. Keadaan ini turut dipengaruhi oleh perubahan iklim yang menyebabkan kenaikan paras laut di persisiran pantai.

Sumber gambar: Detik.com

Fasa bulan purnama

Pemangku Ketua Jabatan Sumber Air (SDA) DKI Jakarta, Ika Agustin Ningrum, menjelaskan banjir air pasang bukan berpunca daripada hujan lebat tetapi kerana fasa bulan purnama yang menyebabkan peningkatan maksimum paras air laut.

“Ini adalah fenomena semula jadi yang berkaitan dengan paras air laut pasang. Ketika bulan berada pada fasa purnama atau bulan baru, paras air laut akan naik dan melimpah ke kawasan rendah yang berhampiran dengan garis pantai,” katanya.

Menurut beliau, tempoh banjir air pasang bergantung kepada beberapa faktor seperti kitaran pasang surut, bentuk muka bumi, dan keadaan cuaca. Kebiasaannya, banjir ini berlangsung selama dua hingga enam jam.

Penggunaan air bawah tanah berlebihan

Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) DKI Jakarta, Isnawa Adji, menegaskan penggunaan air bawah tanah yang berlebihan menyebabkan tanah mendap, menjadikan kawasan persisiran pantai lebih mudah dilanda banjir air pasang.

“Penurunan tanah menyebabkan persisiran pantai Jakarta semakin terdedah kepada banjir air pasang. Selain itu, perubahan iklim global turut meningkatkan paras air laut, yang menambah kekerapan dan intensiti banjir ini,” ujarnya.

Langkah-langkah jangka panjang diperlukan untuk menangani masalah ini. Antara usaha yang sedang dijalankan adalah pembinaan benteng penahan pantai menerusi program National Capital Integrated Coastal Development (NCICD) Fasa A sepanjang 39 kilometer serta sistem takungan kawalan banjir yang dilengkapi empangan karet.

“Kami juga mengoptimumkan penggunaan pam tetap dan bergerak untuk mengalirkan air ke laut serta menjalankan penyelenggaraan saliran agar air dapat mengalir dengan lancar,” tambahnya. – Agensi

Related Posts