Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Parlimen DAP Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas termasuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat, beliau merujuk kepada dua laporan media antarabangsa yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham melebihi had dibenarkan.
Menurutnya, laporan berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana diterbitkan oleh media antarabangsa dan berpotensi menjejaskan reputasi institusi penguatkuasaan negara.
“Ini bukan media tepi jalan atau cakap-cakap kedai kopi. Ini media antarabangsa yang membongkarkan perkara berkaitan SPRM,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia yang kini berada di tangga ke-54 dunia dan bimbang ia boleh merosot sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara telus.
“Setakat ini kita hanya dengar penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat isu pemilikan saham. Namun dakwaan kedua masih belum ada tindakan jelas,” katanya.
Baca juga:
- JPNPP siasat dakwaan murid Tahun Dua dipukul dengan pembaris
- ‘Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand’ – KPN
- Stadium Nasional Bukit Jalil kini TM Stadium Nasional, Stadium Putra jadi Unifi Arena
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu RCI ditubuhkan bagi menyiasat kedua-dua dakwaan secara menyeluruh demi membersihkan nama SPRM.
Dalam masa sama, beliau turut mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, supaya meletakkan jawatan.
“Either he has to go or we have to go. He goes or we go,” katanya.
Beliau turut memberi peringatan bahawa kegagalan mengambil tindakan tegas boleh memberi kesan politik kepada kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Jika kita benarkan beliau terus memegang jawatan, pengundi mungkin akan menghukum kita pada PRU akan datang Saya harap masa bahas saya tamat, tapi jangan tempoh kita jadi kerajaan tamat selepas PRU akan datang,” katanya sebelum mengakhiri perbahasan.








