Medan Selera Bandar Sri Permaisuri, Cheras merupakan tempat yang amat popular di kalangan penduduk setempat dan pengunjung untuk menikmati pelbagai hidangan. Namun, masalah tempat letak kereta yang tidak terkawal telah menimbulkan kesukaran kepada peniaga dan pelanggan.
Menurut peniaga medan selera, penduduk di pangsapuri berdekatan sering meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir pelanggan untuk jangka masa yang lama. Sikap tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesukaran bagi pelanggan untuk memarkirkan kenderaan mereka dan akhirnya mengurangkan jumlah pelanggan yang datang ke medan selera ini.
Baru-baru ini, tular satu klip video menunjukkan banyak kenderaan yang dipercayai milik penduduk ditampal dengan ‘notis teguran’ daripada peniaga. Notis tersebut menegaskan, tempat letak kereta yang disediakan adalah untuk pelanggan dan peniaga sahaja.
“Parking ini untuk pelanggan dan peniaga sahaja. Agak-agak la wei. Ini parking pelanggan, bukannya parking (penduduk) balik rumah tidur.
“Berfikirlah dengan waras, jangan pentingkan diri sehingga menjejaskan hak pelanggan kami untuk parking.”
Tinjauan di Facebook Group Bandar Sri Permaisuri Cheras, netizen mencadangkan agar kawasan tempat letak kereta itu dijadikan sebagai parkir berbayar bagi menangani masalah yang dipercayai sudah berlarutan sekian lama.
“Ini jenis yang mengambil kesempatan. Tempat untuk orang mai makan, park senang. Tapi manusia buta hati ni buat parking milik sendiri. Aku nak datang makan sini pun dah tawar hati. Pusing-pusing cari parking je dalam ni, membazir masa,” kata Umar.
“Betul sangat, selalu rasa nak datang makan kat sini. Tapi disebabkan tak ada parking, batal niat dan makan di tempat lain,” kata Elmizah.
“Mesti penduduk pangsapuri Penara dan sekitar yang parking dekat medan selera tu. Sebab kes ini dah lama. Customer nak datang makan pun susah sebab tak ada parking,” kata Aruwana.