Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyarankan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta haiwan yang membantah kaedah pelupusan anjing liar di Negeri Sembilan untuk mengambil pendekatan lebih konstruktif dengan mengadopsi haiwan-haiwan tersebut.
Jelasnya, kumpulan terbabit tidak sepatutnya sekadar mengadakan bantahan, sebaliknya digalakkan membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pengambilan dan pemeliharaan anjing yang diselamatkan.
“Kita sudah tegaskan bahawa pelupusan anjing ini akan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Jika mengikut prosedur operasi standard (SOP), anjing-anjing ini akan disimpan selama beberapa hari selepas ditangkap. Dalam tempoh itu, NGO atau individu yang mahu membantu boleh mengambil dan memelihara anjing ini di rumah atau tempat masing-masing,” katanya.
Memetik laporan Harian Metro, Aminuddin menegaskan bahawa tiada isu anjing akan ditembak atau dilupuskan sesuka hati kerana proses tersebut perlu mengikut SOP yang ketat.
Mendapat sokongan majoriti
Aminuddin memaklumkan dasar pelupusan itu akan diteruskan memandangkan ia telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam sidang DUN baru-baru ini.
Langkah tersebut, katanya, dibuat bagi menjaga keselamatan awam susulan jumlah aduan yang tinggi berkaitan gangguan dan serangan anjing liar.
“Dalam perkara ini, kerajaan negeri perlu bersikap adil dalam menyelesaikan aduan, terutama apabila berlaku kes serangan oleh anjing liar sehingga menyebabkan kecederaan. Ketika kejadian berlaku, tiada NGO atau pencinta haiwan berkenaan yang tampil memberikan bantuan,” katanya.








