'Adik menangis panggil abangnya, ajak mandi kolam bersama' - Bapa Mohamad Fahmi | The Reporter

‘Adik menangis panggil abangnya, ajak mandi kolam bersama’ – Bapa Mohamad Fahmi

Mohamad Fahmi
Sumber Gambar: Sinar Harian

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pemergian murid Tahun 4, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, yang meninggal dunia selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata (gummy eyeballs) pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat kedua ibu bapanya dan keluarga.

Mohamad Fahmi yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP meninggal dunia pada jam kira-kira 11 malam tadi.

Menurut bapanya, Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, Fahmi menghembuskan nafas terakhirnya disisinya dan isteri.

“Tiada lagi anak yang ceria, Fahmi hembus nafas terakhir di sisi ibu dan baba. Kami beritahu reda jika dia hendak pergi, dan dia pergi dengan tenang selepas isteri saya bisik kalimah syahadah di telinganya.

“Saya reda walaupun secepat ini dia ‘pergi’, sekurang-kurangnya dia tidak lagi menanggung kesakitan.

“Ada air mata bertakung di matanya, dia pergi dalam keadaan cukup tenang seolah-olah sedang tidur,” katanya.

Kongsinya, semasa adik kepada Fahmi, Nufa Fakhira yang berusia empat tahun datang melawat petang semalam, dia memanggil abangnya dan mengajak mandi kolam bersama.

Dalam pada itu, Fakhruddin turut menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang mendoakan anaknya.

“Tangan yang menjaganya sejak kecil akan mandikan dan kafankannya, saya tidak pasti bagaimana akan saya lakukan nanti. Terima kasih kepada semua yang mendoakan anak saya,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Related Posts