Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyifatkan perhimpunan Turun Anwar yang berlangsung semalam sebagai bukti jelas kematangan demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, bukan kelemahan seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli berkata, tidak seperti era silam yang menyaksikan perhimpunan dibedil dan suara dibungkam, kerajaan hari ini membenarkan rakyat berhimpun secara aman tanpa gangguan atau kekerasan.
“Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Ruang demokrasi sebenar, bukan sekadar laungan
Menurut Adam, kehadiran pihak keselamatan tanpa senjata pemedih mata atau perisai rusuhan membuktikan perubahan ketara dalam cara negara mengurus perbezaan pandangan rakyat. Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada petugas keselamatan yang menjalankan tugas tanpa provokasi.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Madani bukan sahaja menjamin hak sivil untuk bersuara dan berhimpun, malah turut komited menyelesaikan isu asas seperti kos sara hidup, kemiskinan, pendidikan dan peluang pekerjaan.
“Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat,” ujar Adam.
Pembangkang ketandusan hala tuju, hanya serang peribadi
Adam turut menyindir pembangkang yang disifatkan “ketandusan hala tuju” dan lebih gemar memainkan persepsi serta menyerang peribadi pemimpin kerajaan tanpa menawarkan dasar alternatif yang lebih baik.
Bagaimanapun, KEADILAN tidak menganggap perhimpunan semalam sebagai ancaman, sebaliknya melihatnya sebagai lambang perubahan budaya politik ke arah yang lebih terbuka dan matang.
Adam berkata, perbezaan pandangan harus diraikan kerana dalam demokrasi, suara yang menyokong dan menentang sama penting serta wajar dilindungi. Kerajaan telah membuktikan keupayaan memelihara ruang demokrasi, manakala pembangkang pula perlu menunjukkan kesediaan yang sama dengan mendidik penyokong menjadi lebih adil dan celik, serta mendisiplinkan wakil rakyat dengan hujah yang matang.
Tambahnya, himpunan semalam mencorak peristiwa penting ke arah membina negara yang lebih terbuka dan adil, selari dengan semangat Madani — rakyat bebas bersuara dan kerajaan sedia mendengar tanpa angkuh.
Sumber: FB Adam Adli








