Seorang peserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, Abdul Rahim, menjadi perhatian apabila kisah pengorbanannya turut dikongsikan oleh peserta dari Perancis di Instagram dan mula tular di laporan portal luar negara.
Abdul Rahim, 33 tahun, merupakan seorang rakyat Malaysia, Muslim yang taat, dan bapa kepada seorang anak perempuan berusia 3 tahun.
Menurut Thomas Guénolé-Ryzhakov, rakan sebiliknya di atas kapal Aurora milik #WavesOfFreedom Switzerland, Abdul Rahim digambarkan sebagai seorang yang berdisiplin, sentiasa menjaga ibadah termasuk mengambil wuduk dan menunaikan solat sepanjang pelayaran panjang tersebut.
Lebih mengharukan, Abdul Rahim juga seorang Mutawif, sanggup menjual keretanya sendiri bagi membiayai penyertaan dalam flotila yang membawa mesej solidariti untuk Palestin. Selain itu, beliau juga dikenali dengan perniagaan wangian.
Baca juga:
- ‘256 warga asing Network School Forest City guna Pas Lawatan Sosial’ – KP Imigresen
- ‘Suami saya bukan penjenayah!’- Wanita Orang Asli dakwa suami ditahan
- Kes hak cipta plat MADANI: Mahkamah arah JPJ bayar RM40,000 kepada Hasan Azhari
Thomas Guénolé turut menyatakan bahawa Abdul Rahim menyertai misi ini atas dasar solidariti sebagai seorang Muslim terhadap rakyat Palestin, serta atas nama kemanusiaan sejagat.
Kisah Abdul Rahim menjadi perhatian ramai, bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah turut mendapat perhatian masyarakat luar negara yang mengagumi pengorbanannya. Ramai juga yang mendoakan agar segala urusan Abdul Rahim dan para peserta lain dipermudahkan sepanjang misi penuh cabaran ini.








