Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki ditahan polis di Kajang selepas didakwa memaki hamun, mengugut dan memecahkan cermin kenderaan seorang penghantar barang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun, pada jam 2.30 petang, Khamis lalu.
Bertindak atas maklumat orang ramai, polis telah berjaya menahan suspek, seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun, di Kajang pada hari yang sama kejadian berlaku.
Polis turut merampas senjata yang digunakan semasa kejadian, iaitu topi keledar.
Siasatan awal mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau.
Suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan dan mengetahui punca sebenar kejadian.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga setahun dan tidak lebih lima tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.








