Semalam, polis mengesahkan wanita warga Jepun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya, Jumaat lalu, adalah isteri kepada usahawan dan pempengaruh media sosial, Ridz Okumura.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut. Polis juga sudah mengambil keterangan daripada Ridz Okumura.
Ridz Okumura cerita hal sebenar
Pada pagi Rabu, Ridz menerusi TikTok berkongsi kejadian sebenar di mana pada hari kejadian dia mendapati isterinya, Akiko Okumura, sudah tidak sedarkan diri di tanah.
“Masa itu, abang dari tingkat atas dah cakap dengan security guard, tolong hubungi polis dan ambulans segera. Arwah jatuh dekat tanah, lepas tu abang cuba kejutkan dia, ‘Honey, wake up! Wake up!’ tetapi dia tak bangun.
“Abang tak nak alih muka dia, sebab takut kalau Akiko masih lagi bernyawa atau patah di mana-mana bahagian badannya. Kemudian abang lari naik ke atas rumah dan ambil tuala untuk tutup badan isteri kerana baju tidur yang dipakainya tersingkap.”
Arwah mungkin tergelincir
Menurut Ridz, ambulans dan polis tiba tidak lama kemudian, sebelum pegawai perubatan mengesahkan isterinya telah meninggal dunia.
“Ya Allah, Tuhan saja yang tahu isteri abang ini macam mana. Sebelum nak puasa, dia nak kemaskan itu ini, semua dia nak kemaskan. Abang tak tahu sama ada dia jatuh tu sebab dia nak kemaskan sesuatu ke apa. Abang tak tahu, sebab abang dah tidur pada malam itu.
“Abang rasa Akiko tergelincir. Tidak mungkin Akiko nak terjun ke apa. Abang tak tahu sebab abang tak ada dalam bilik itu. Yang abang tahu, pagi tu abang nampak dia dah terjatuh.
“Apa yang abang cerita kat korang, abang harap korang faham dan janganlah buat andaian yang bukan-bukan lagi. Perjalanan arwah sangat-sangat indah. Yang abang tahu, dia pergi hari Jumaat di bulan Ramadan. Dia pergi cantik dan pada abang dia dah masuk ke syurga, dia adalah bidadari syurga. Dia tak pernah buat jahat dengan orang. Bayangkan, dia dah tinggalkan semuanya untuk abang. Setiap hari dia buat makanan.”
Berhenti buat andaian yang bukan-bukan
Ridz turut berkongsi, sebelum kejadian, isterinya telah membuat nota tentang persiapan juadah sahur dan merancang untuk membeli barangan keperluan di ibu kota.
“Yang paling sedih, abang nampak nota yang dia lukis nak sediakan juadah sahur. Sebenarnya pada pagi kejadian itu, abang dengan dia nak beli barang dapur di Isetan. Dia kan orang Jepun, dia nak beli makanan-makanan Jepun.”
Sejak tragedi itu, anak mereka, Sky Taizo Okumura, masih belum bersekolah kerana takut menghadapi komen orang.
“Sky sampai sekarang masih belum bersekolah lagi kerana takut kat sekolah orang cakap macam-macam. Yang komen cakap yang bukan-bukan, tolonglah berhenti berbuat demikian atau abang akan ambil tindakan untuk membetulkan keadaan.”
Arwah tidak mempunyai ramai kenalan di Malaysia
“Akiko tu memang dia tak nak campur orang, dia suka duduk di rumah dan dalam hidup dia hanya abang dengan Sky saja. Dia tak ada keluar dengan kawan-kawan, tak ada. Dia tak ada kawan dalam Malaysia dan dia ada satu kawan saja di Jepun dan itupun dia dah putus kawan.”
Beliau juga kesal dengan tuduhan segelintir pihak yang mendakwa beliau cuba meraih perhatian dengan memuat naik video perbualan anaknya dengan neneknya.
“Semalam abang muat naik satu video Sky berbual dengan Opah dia, itu pun korang nak jadikan isu. Korang kata abang nak buat content. Ini bukan content, orang tengah susah hati. Perlu faham, TikTok abang adalah album abang. Setiap kenangan itu abang boleh tengok balik. Janganlah buat tanggapan yang bukan-bukan.”








