Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tiga pertuduhan merogol adik kandungnya yang masih di bawah umur sejak dua tahun lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Menurut pertuduhan, dia didakwa merogol adik perempuannya yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah di Bachok pada tiga tarikh berasingan iaitu April 2023, Disember 2023 dan April 2024.
Baca juga:
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
- ‘Type M, C dan I bukan lagi gurauan, tapi kemarahan tersirat’ – Zahid Hamidi
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira keseriusan kes dan kepentingan melindungi mangsa.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd Firdaus Zainal Abidin, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan terhad serta mempunyai isteri yang sedang hamil.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000. Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Ogos depan bagi tujuan serahan dokumen kepada pihak pembelaan.
Sumber: Harian Metro








