‘Pelbagai angle sampai ada ending’ - Tular video polis kejar lori di Pasir Gudang | The Reporter

‘Pelbagai angle sampai ada ending’ – Tular video polis kejar lori di Pasir Gudang

Rakaman aksi polis mengejar sebuah lori di sekitar Pasir Gudang sebelum suspek diberkas.
Tangkap layar video tular aksi polis mengejar sebuah lori di sekitar Pasir Gudang sebelum suspek diberkas.

Seakan aksi dalam sebuah filem, suasana pagi di sekitar Pasir Gudang kecoh apabila berlaku kejadian kejar-mengejar membabitkan pihak polis dan sebuah lori yang dipercayai dicuri.

Kejadian yang dirakam orang awam dari beberapa sudut dan dikongsikan menerusi media sosial itu memaparkan sebuah lori hijau dikejar kenderaan polis sebelum pemandunya berjaya diberkas.

Berdasarkan maklumat awal yang dikongsikan di media sosial, lori terbabit dipercayai dilarikan dari sebuah kawasan parkir kenderaan komersial berhampiran BHP Plentong sebelum suspek memandunya secara berbahaya dalam usaha meloloskan diri.

Aksi kejar-mengejar itu dipercayai bermula dari Lebuhraya Pasir Gudang sebelum berakhir selepas lori berkenaan memasuki jalan mati di kawasan Kampung Tanjung Langsat.

Suspek ditahan

Suspek kemudian dipercayai meninggalkan lori dan melarikan diri ke kawasan kebun kelapa sawit berhampiran bagi mengelak ditahan.

Bagaimanapun, cubaan melarikan diri itu gagal apabila suspek berjaya diberkas pihak polis.

Difahamkan, beberapa kenderaan turut mengalami kerosakan selepas dipercayai dilanggar lori terbabit sepanjang kejadian.

Rakaman kejadian yang dikongsikan dari pelbagai sudut turut menarik perhatian pengguna media sosial apabila keseluruhan insiden, termasuk detik suspek diberkas, sempat dirakam orang awam.

Related Posts