Sebelum ini, kisah Nur Rahimah, 44, tular selepas kegigihannya bekerja sebagai penghantar makanan mendapat perhatian ramai. Dia dilaporkan sanggup melakukan penghantaran dengan berjalan kaki dan pernah menempuh jarak sehingga kira-kira 20 kilometer.
Nur Rahimah mula bekerja sebagai penghantar makanan pada 2020 selepas berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap. Sebelum itu, dia mempunyai pengalaman bekerja dalam bidang teknologi maklumat dan pengujian perisian, namun berhenti pada 2018 untuk menjaga ibunya yang sakit.
Ujian menimpanya apabila basikal lipat yang digunakan untuk bekerja dicuri selepas dikunci berhampiran MRT Surian. Kehilangan itu menyebabkan Nur Rahimah terpaksa kembali berjalan kaki untuk melakukan penghantaran makanan.
Kesukaran tersebut kemudian mendapat perhatian Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyumbangkan sebuah basikal baharu bagi membolehkannya kembali bekerja dan meneruskan rutin mencari rezeki.
Pada masa sama, LZS memaklumkan Nur Rahimah dan keluarganya bukanlah penerima baharu bantuan zakat apabila sokongan telah disalurkan sejak 2020 bagi membantu keperluan keluarga serta pendidikan anaknya.
Kisah Nur Rahimah memperlihatkan ketabahannya meneruskan kehidupan meskipun berdepan kekangan fizikal, tanggungjawab membesarkan anak serta kehilangan pengangkutan yang menjadi sumber utama untuk mencari pendapatan.
Menerusi perkongsian itu, LZS turut mengajak masyarakat melihat lebih dekat perjuangan di sebalik sosok seorang penghantar makanan yang mungkin kelihatan biasa di jalan raya, namun sebenarnya sedang berusaha memastikan kelangsungan hidup keluarganya.








