Lelaki maut akibat rabies di Kedah, kes pertama dilaporkan sejak 1998 | The Reporter

Lelaki maut akibat rabies di Kedah, kes pertama dilaporkan sejak 1998

Kenyataan media JKN Kedah mengenai kematian seorang lelaki akibat rabies di Kubang Pasu.
Gambar hiasan/janaan Ai

Seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia akibat rabies pada Ahad, menjadikannya kes pertama rabies dalam kalangan manusia yang dilaporkan di Kedah sejak 1998.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah memaklumkan lelaki itu mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu. Mangsa mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian tersebut, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.

Menurut kenyataan itu, mangsa mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada lengan kanan pada 18 September. Empat hari kemudian, mangsa mengalami kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku.

Mangsa mendapatkan rawatan semula pada 23 September sebelum dirujuk untuk rawatan lanjut dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Sampel klinikal yang diambil pada 24 September mengesahkan jangkitan rabies menerusi keputusan ujian makmal pada 26 September. Mangsa meninggal dunia pada 27 September.

Baca juga:

Susulan pengesahan kes itu, JKN Kedah bersama agensi berkaitan menjalankan pengesanan kes secara aktif, memperkukuh pemantauan kes gigitan haiwan dan mengambil tindakan kawalan di kawasan terlibat. Siasatan menyeluruh turut dijalankan bagi mengenal pasti sumber jangkitan serta laluan pendedahan.

JKN Kedah menasihatkan orang ramai yang digigit atau dicakar haiwan supaya segera mencuci luka dengan sabun dan air mengalir selama sekurang-kurangnya 15 minit, kemudian mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan. Mereka yang pernah terdedah kepada air liur haiwan berisiko juga perlu mendapatkan penilaian walaupun luka telah sembuh, tanpa menunggu gejala muncul.

“Rabies boleh membawa maut, namun boleh dicegah,” menurut JKN Kedah yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Related Posts