Dr Izzar titip takziah buat wira negara, minta orang ramai tidak berspekulasi | The Reporter

Dr Izzar titip takziah buat wira negara, minta orang ramai tidak berspekulasi

Dr Izzar berkongsi pengalaman bersama FDS susulan tragedi helikopter Sarawak
Gambar yang dikongsikan oleh Dr Izzar menerusi Instagram.

Doktor dan personaliti media sosial, Dr Izzar Anwari, menzahirkan rasa sedih susulan tragedi yang berlaku kelmarin membabitkan wira negara.

Menerusi perkongsian di media sosial, Dr Izzar yang juga merupakan suami kepada pelakon Ummi Nazeera turut menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terkesan akibat tragedi berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman ketika bersama Pasukan Gerakan Udara Bomba dan Penyelamat Sarawak (FDS) sebelum ini, terdapat pelbagai prosedur keselamatan yang perlu dilalui sebelum sesebuah penerbangan dibenarkan berlepas.

Beliau berkata, helikopter yang digunakan turut menjalani penyelenggaraan secara berkala oleh syarikat yang menyewakannya bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian.

“Amat sedih di atas tragedi yang berlaku kelmarin. Takziah kepada wira-wira negara kita,” katanya.

Baca juga:
Berkongsi pengalaman ketika FDS

Dr Izzar turut berkongsi pengalamannya apabila pernah dimaklumkan oleh seorang juruterbang bahawa helikopter yang digunakan sesuai untuk operasi di Sarawak, khususnya mengambil kira keadaan geografi dan cabaran logistik di negeri itu.

Katanya, penggunaan helikopter juga memudahkan akses ke kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.

“Pilot pun cakap kat saya dulu, helikopter yang digunakan pun sesuai untuk kegunaan di bumi Sarawak yang geografi dan logistiknya agak mencabar. Mudah sikit nak masuk kampung-kampung pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Izzar meminta orang ramai supaya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi berkenaan.

Beliau turut menyeru masyarakat agar mendoakan perkara yang baik dan tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil laporan siasatan.

“Apa-apa pun kita tunggu laporan siasatan. Doakan yang baik-baik tanpa berspekulasi,” katanya.

Related Posts