Mahkamah Majistret Klang menjatuhkan denda RM800 terhadap seorang guru taska selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun, pada 28 Ogos lalu.
Memetik laporan Kosmo, Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan tertuduh, Lenah Abdul, 43, dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Lenah didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah taska di Taman Sentosa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika memandikan kanak-kanak berkenaan.
Kejadian itu kemudian diketahui bapa mangsa selepas melihat kesan lebam pada tubuh anaknya sebelum meminta penjelasan daripada pihak taska dan membuat laporan polis.
Baca juga:
- Polis siasat dakwaan Hadi pernah ditawar AS jatuhkan kerajaan BN
- Guru taska didenda RM800 sebabkan kecederaan kanak-kanak autistik
- Tun M jelaskan sebab hadir sambutan Hari Kebangsaan
Dalam mitigasi, peguam Adam Rosli memaklumkan anak guamnya berpendapatan RM1,700 sebulan dan mempunyai seorang anak autistik.
Katanya, pada hari kejadian, mangsa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buang sebelum mencalitkannya pada dinding taska sehingga kotor, selain bertindak agresif.
Menurutnya, tertuduh perlu memantau tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya dan keadaan pada ketika itu didakwa menjadi di luar kawalan sehingga menyebabkan tertuduh bertindak seperti dalam pertuduhan.
Peguam turut memaklumkan tertuduh telah menyerah diri kepada polis, mengakui kesalahan, memohon maaf dan menyesali perbuatannya sebelum memohon hukuman berbentuk denda.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman menegaskan tertuduh sebagai guru dan penjaga mempunyai tanggungjawab terhadap keselamatan mangsa yang merupakan kanak-kanak autistik.
Katanya, kegagalan mengawal kemarahan dan emosi sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa wajar diambil kira, selain hukuman setimpal perlu dijadikan pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.
Menurut hantaran seorang wanita di Facebook, kanak-kanak berkenaan didapati mengalami lebam dan birat pada paha serta lengan selepas diambil dari pusat jagaan pada 28 Ogos lalu. Pemilik taska didakwa mengakui kecederaan itu berlaku selepas mangsa dipukul menggunakan penyangkut baju oleh seorang guru.
Keluarga kemudian membawa mangsa ke hospital dan membuat laporan polis. Guru berkenaan didakwa direman enam hari, manakala pihak taska turut menawarkan ganti rugi RM1,000 serta pengecualian yuran sehingga Disember 2027, namun keluarga tidak bersetuju.
Wanita itu berkata keluarga memilih meneruskan kes kerana mempersoalkan tindakan memukul kanak-kanak autistik menggunakan penyangkut baju serta mahu kes dinilai semula di bawah Akta Kanak-Kanak.









