Datuk Seri Jamil Khir Baharom direman selama lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya pada pagi tadi untuk prosiding permohonan reman.
Majistret Ezrene Zakariah membenarkan permohonan SPRM untuk menahan beliau sehingga Ahad bagi membantu siasatan yang dijalankan agensi berkenaan.
Memetik laporan Malaysia Kini, peguamnya, Hamidi Mohd Noh, berkata Jamil Khir disiasat mengikut Seksyen 16A Akta SPRM 2009.
Menurut beliau, anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan berkaitan perkara berkenaan yang telah berlangsung sejak 2018.
“Dia ditahan untuk bagi kerjasama dan dia sentiasa bagi kerjasama.
“Dari (siasatan) tahun 2018 sampai sekarang Datuk Seri Jamil memang sentiasa bagi kerjasama, tak pernah tak bagi kerjasama,” katanya.
Baca juga:
- Jamil Khir direman lima hari bantu siasatan RCI Tabung Haji
- Lelaki cetus provokasi Hari Kebangsaan di Putrajaya positif dadah
- ‘Madu atau Racun’ cetus kontroversi, JAKIM akan semak kandungan
Hamidi turut memaklumkan tiada sebarang pesanan disampaikan Jamil Khir selepas prosiding reman selesai apabila ditanya mengenai perkara itu.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan penahanan seorang bekas menteri kira-kira jam 4.30 petang semalam bagi membantu siasatan berhubung laporan RCI Tabung Haji.
Siasatan itu turut dikaitkan dengan isu pajakan sebuah hotel di Arab Saudi.









