Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius isu membabitkan keselamatan dan kebajikan murid susulan pemergian Allahyarhamah Nur Qaira Alisha binti Ahmad Ilwan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan keluarga Allahyarhamah.
Beliau turut mengarahkan Unit Integriti KPM mengambil tindakan selanjutnya selaras dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa serta berlandaskan prinsip keadilan kepada semua pihak.
Fadhlina menegaskan KPM memandang serius setiap perkara yang melibatkan keselamatan serta kebajikan murid.
“Keutamaan KPM pada masa ini adalah untuk memastikan keluarga diberikan ruang serta sokongan yang sewajarnya dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Dalam kenyataannya, Fadhlina turut merakamkan ucapan takziah kepada ibu bapa dan seluruh keluarga Allahyarhamah atas kehilangan yang amat berat itu.
Baca juga:
- Kes Nur Qaira Alisha: Guru berkenaan ditukar sementara tunggu siasatan
- KPM arah Unit Integriti ambil tindakan lanjut kes Nur Qaira Alisha
- Saravanan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terima suapan
Sementara itu, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada Nur Qaira Alisha meluahkan kesedihan dan mendakwa anaknya mempunyai masalah jantung sejak berusia tiga bulan.
Menurut wanita berkenaan, Qaira dilahirkan pada 11 November 2015 dan mengalami masalah kegagalan injap serta jantung bengkak, namun tetap aktif dan rajin bersekolah.

Beliau mendakwa satu kejadian membabitkan seorang guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) berlaku ketika pemilihan rumah sukan, apabila anaknya diarahkan untuk berlari.
Dakwa wanita itu, tindakan berkenaan dibuat walaupun pihak guru terbabit telah diberikan surat pengesahan mengenai masalah kesihatan yang dihadapi anaknya.
Menurutnya lagi, kejadian tersebut menyebabkan keadaan kesihatan Qaira terjejas sehingga didakwa menjadi orang kurang upaya (OKU), terlantar dan memerlukan bantuan oksigen.
Dalam luahan yang dikongsikan, wanita itu turut mempersoalkan tindakan guru berkenaan serta meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku kepada anaknya.









