KPM diminta beri perhatian cabaran guru Pulau Bum Bum | The Reporter

KPM diminta beri perhatian cabaran guru Pulau Bum Bum

Guru Pulau Bum Bum berdepan cabaran perjalanan menggunakan bot ke sekolah
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan bot yang didakwa digunakan guru untuk berulang-alik ke Pulau Bum Bum.

Cabaran yang dihadapi guru-guru di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah ketika berulang-alik ke sekolah mendapat perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi dakwaan bahawa bot yang dinaiki guru-guru pernah tenggelam ketika dalam perjalanan.

Menerusi hantaran yang tular, individu berkenaan berkata kejadian itu antara cabaran yang terpaksa dihadapi guru-guru yang bertugas di kawasan pulau berkenaan, malah keadaan itu disifatkan membimbangkan kerana melibatkan perjalanan menggunakan bot.

“Cabaran guru-guru Pulau Bum Bum. Bot tenggelam. Nasib tak tenggelam tengah laut,” tulisnya dalam hantaran tersebut.

Mohon KPM beri perhatian

Beliau turut berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian terhadap kebajikan dan kemudahan guru yang bertugas di Semporna.

Dalam hantaran sama, beliau mencadangkan supaya Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertimbangkan pembinaan jambatan yang menghubungkan Pulau Bum Bum dengan tanah besar bagi memudahkan pergerakan penduduk serta warga pendidik.

Menurutnya, jarak antara pulau berkenaan dengan tanah besar tidak terlalu jauh, selain terdapat kira-kira 14 sekolah di Pulau Bum Bum yang memerlukan akses pengangkutan lebih baik untuk guru dan murid.

Beliau turut membangkitkan isu kos pengangkutan, dengan mendakwa terdapat keadaan harga sewaan bot dan bayaran tempat letak kenderaan meningkat secara tiba-tiba tanpa alasan yang munasabah.

Baca juga:
Jambatan rentas laut

Hantaran itu turut menyentuh potensi ekonomi Pulau Bum Bum sekiranya kemudahan jambatan dapat diwujudkan. Antaranya termasuk peluang pekerjaan yang lebih luas, selain potensi mengembangkan industri berkaitan hasil laut seperti ikan bilis dan makanan laut.

Individu tersebut turut menyatakan kewujudan banyak rumah bagang di sekitar kawasan berkenaan sebagai antara potensi ekonomi yang boleh dikembangkan sekiranya akses antara pulau dan tanah besar dipertingkatkan.

Sementara itu, seorang pengguna Threads dalam ruangan komen turut berkongsi pengalaman berkaitan cabaran guru dan pendidik yang berulang-alik menggunakan bot di Pulau Bum Bum.

Menurutnya, seorang guru atau daie di Sekolah Alternatif Pulau Bum Bum pernah terlibat dalam kemalangan apabila bot yang dinaiki bertembung dengan bot tambang ketika dalam perjalanan untuk mengajar.

“Realiti yang pahit ni memang jarang jadi cerita orang di semenanjung,” katanya sambil mendoakan agar para pendidik dan daie yang berkhidmat di kawasan berkenaan terus diberikan kekuatan.

Perkongsian tersebut sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai keperluan meningkatkan akses pengangkutan dan keselamatan perjalanan bagi guru yang berkhidmat di kawasan kepulauan, khususnya di Pulau Bum Bum.

Related Posts