Kes kemalangan membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia yang meragut tiga nyawa di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, awal pagi tadi mengejutkan ramai pihak, lebih-lebih lagi apabila keluarga berkenaan dipercayai berada di ibu negara untuk bercuti.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata ketiga-tiga mangsa yang maut berasal dari Kampar, Perak.
Menurutnya, siasatan awal mendapati keluarga berkenaan dipercayai berada di Kuala Lumpur untuk bercuti, namun pihak polis masih belum dapat memastikan sejak bila mereka berada di ibu negara.
Baca juga:
- Polis Hat Yai nafi dakwaan layanan tidak adil terhadap penunggang Malaysia
- Ridhuan Tee pelawa Altimet berdebat isu perpaduan
- Murid SK Air Hitam Labu antara tiga beranak maut dirempuh lori JIM
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, seorang lelaki berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya, masing-masing berusia 25 dan 12 tahun, maut selepas dilanggar lori jenis Isuzu Black Maria yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction.
Isteri mangsa, 55, yang juga ibu kepada dua anak perempuan itu turut cedera dan kini berada dalam keadaan kritikal di zon merah. Wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala, tangan kanan serta kedua-dua kaki dan sedang menerima rawatan.
Difahamkan, seorang lagi anak pasangan itu tidak bersama keluarga ketika kejadian. Sementara itu, proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa sedang dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, manakala kedua-dua pemandu lori dan Proton Sogo yang terbabit dalam kemalangan sedang dalam proses reman di IPD Dang Wangi.








