Provokasi polis, rusuh guna senjata: Empat lelaki termasuk warga Singapura ditahan | The Reporter

Provokasi polis, rusuh guna senjata: Empat lelaki termasuk warga Singapura ditahan

Empat lelaki ditahan selepas pergaduhan dan provokasi terhadap polis trafik di Bangunan Sultan Iskandar
Tangkap layar video tular memaparkan kejadian pergaduhan dan provokasi terhadap anggota polis trafik di Bangunan Sultan Iskandar.

Polis menahan empat lelaki, termasuk seorang warga Singapura, selepas terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata serta menghalang dua anggota polis trafik menjalankan tugas di kawasan sebelum masuk ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), pada 16 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu selepas satu video memaparkan seorang lelaki menghalang dua anggota polis trafik ketika menjalankan tugas tular di media sosial.

“Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham di jalan raya yang membabitkan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing serta penggunaan senjata.

“Ketika dua anggota polis trafik BSI cuba menenangkan seorang daripada suspek, iaitu lelaki warga asing, suspek berkenaan dipercayai melakukan provokasi terhadap anggota polis terbabit,” katanya.

Azrul Hisham berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bersama anggota polis trafik BSI menjalankan operasi tangkapan antara jam 12.15 tengah malam hingga 1.45 pagi pada hari sama.

Susulan itu, empat lelaki berusia antara 25 hingga 46 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Polis turut merampas sebuah topi keledar dan sebilah pisau yang dipercayai berkaitan dengan kes.

Semakan rekod mendapati dua daripada empat suspek mempunyai keseluruhan 16 rekod berkaitan jenayah dan dadah. Sementara itu, ujian saringan awal air kencing terhadap tiga suspek mendapati mereka negatif dadah.

Baca juga:

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 17 Ogos bagi permohonan reman dan dibenarkan ditahan selama tiga hari, bermula 17 hingga 19 Ogos, bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan bersenjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkaitan kejadian berkenaan bagi mengelakkan salah faham dan spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

Related Posts