Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands | The Reporter

Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands

Polis Pahang nafi dakwaan kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands
Gambar: Facebook Polis Pahang

Polis Pahang menafikan dakwaan mengenai kewujudan kartel dadah berskala besar yang didakwa menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Genting Highlands, Bentong, seperti yang tular di media sosial menerusi platform Threads baru-baru ini.

Memetik laporan Berita RTM, Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang maklumat yang mengesahkan dakwaan berkenaan.

Beliau berkata pihak polis akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya menerima laporan atau maklumat berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang, termasuk pengedaran dadah.

“Saya rasa saya tidak boleh bersetuju dengan kenyataan tersebut sama ada ada kartel besar di Genting Highlands kerana apa-apa kejadian yang berlaku, sama ada di Genting Highlands atau mana-mana kawasan. Sekiranya ada laporan polis yang dibuat membabitkan kejadian yang menyalahi undang-undang, pihak kami akan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Azry Akmar turut menegaskan bahawa dakwaan kononnya tiada tindakan penguatkuasaan terhadap kartel dadah berkenaan adalah tidak benar.

Menurutnya, tindakan polis tidak terhad kepada Genting Highlands sahaja, sebaliknya meliputi seluruh negeri Pahang berdasarkan laporan atau maklumat yang diterima.

Baca juga:

Dakwaan berkenaan sebelum ini tular menerusi satu hantaran di Threads oleh seorang individu yang mendakwa kewujudan kartel dadah berskala besar di Genting Highlands.

Individu itu turut mendakwa beberapa laporan polis mungkin telah dibuat berhubung perkara berkenaan, namun mendakwa tiada tangkapan atau serbuan dilakukan.

Sumber: Berita RTM, Berita Harian

Related Posts