Pelakon wanita mengaku tak bersalah kes tuntutan palsu insentif PERKESO | The Reporter

Pelakon wanita mengaku tak bersalah kes tuntutan palsu insentif PERKESO

Farah Wahida Zainuddin hadir ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan tuntutan palsu insentif PERKESO.
Gambar: Sinar Harian

Pelakon drama, Farah Wahida Zainuddin, 44, bersama tiga individu lain mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 2024.

Memetik laporan Sinar Harian, Farah Wahida yang juga Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn Bhd dan rakannya, Mohd Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing berdepan empat pertuduhan selepas membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Dua lagi tertuduh, Lim Sue Peng, 54, dan Lim Sian Tze, 54, turut mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rosli Ahmad. Sue Peng berdepan lima pertuduhan manakala Sian Tze menghadapi lapan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Farah Wahida, Sue Peng selaku Pengarah Zfinity dan Sian Tze sebagai pemilik LST Concept Marketing didakwa memberikan dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 kepada ejen PERKESO bagi tujuan membuat tuntutan insentif program berkenaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku di beberapa lokasi termasuk sebuah premis di Off Jalan Gombak, Jalan Sungai Besi dan Taman Sri Sinar, Segambut antara 29 Mac hingga 2 Oktober 2024.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Baca juga:

Sementara itu, Mohd Nizam didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Farah Wahida melakukan kesalahan sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta berkenaan.

Mahkamah membenarkan Farah Wahida diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Mohd Nizam pula dikenakan jaminan RM6,000, manakala Sue Peng dan Sian Tze masing-masing dikenakan jaminan RM35,000 dan RM48,000 dengan seorang penjamin. Ketiga-tiga mereka turut diarahkan melapor diri kepada SPRM setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Related Posts