Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu, ganti Ahmad Shabery Cheek | The Reporter

Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu, ganti Ahmad Shabery Cheek

Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Pengerusi FELDA baharu menggantikan Ahmad Shabery Cheek.
Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai Pengerusi FELDA yang baharu berkuat kuasa selepas tempoh perkhidmatan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berakhir pada 30 Jun 2026.

Dalam kenyataan hari ini, FELDA berkata pelantikan Ahmad Badri mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas beliau dalam menerajui organisasi strategik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut FELDA, kepimpinan Ahmad Badri diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat selepas menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.

Sepanjang kerjaya beliau, Ahmad Badri pernah memegang pelbagai jawatan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia dari 2018 hingga 2020.

Baca juga:

Beliau turut pernah menerajui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai pengerusi serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa institusi utama negara termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketika ini, Ahmad Badri merupakan Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain menganggotai Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.

Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Hull, United Kingdom, serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

FELDA berkata pihaknya yakin pengalaman dan kepimpinan Ahmad Badri akan membantu memperkukuh agenda transformasi Kumpulan FELDA, meningkatkan kemampanan ekonomi serta mencipta nilai lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.

Related Posts