Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap individu yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memandang serius isu tular membabitkan sekumpulan petugas kempen Pakatan Harapan (PH), termasuk anggota DAP, yang dilihat menunggang motosikal tanpa kelengkapan keselamatan berkenaan.
Menurut Anthony, pendiriannya mengenai isu itu kekal konsisten sejak dahulu dan tindakan sama perlu dikenakan kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.
“Saya sudah tegaskan sebelum ini, tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, prinsip tersebut terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian termasuk calon serta petugas kempen PH, kerana undang-undang keselamatan jalan raya tidak membezakan latar belakang politik seseorang.
Anthony berkata, beliau telah mengarahkan JPJ mengeluarkan saman kepada mana-mana individu yang dikenal pasti melakukan kesalahan berdasarkan bukti rakaman video yang tular.
“Tindakan ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor,” katanya.
Baca juga:
- Anthony Loke arah JPJ saman petugas kempen PRN Johor tak pakai topi keledar
- Berang dibaling ais, pelajar Tingkatan 1 kejar rakan dengan pisau pemotong kertas
- ‘Beginikah anak-anak kami diperkenalkan kepada dunia universiti?’ – Ustazah Asma’
Dalam pada itu, Anthony menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri. Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.
Sebelum ini, Anthony turut membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim kira-kira enam tahun lalu, dengan menegaskan kewajipan memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.









