Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berpandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberi peluang untuk meneruskan kepimpinan sebagai Perdana Menteri bagi penggal kedua.
Menerusi kenyataan dalam sebuah podcast, Hannah berkata Anwar memerlukan masa untuk melaksanakan lebih banyak agenda reformasi yang telah dirancang, sambil mengakui tiada pemimpin yang sempurna.
Menurutnya, Anwar berjaya memimpin kerajaan perpaduan dalam tempoh yang singkat walaupun berdepan keadaan mencabar, termasuk menyatukan gabungan politik yang sebelum ini merupakan pesaing dalam Pilihan Raya Umum.
“Anwar layak mendapat penggal kedua dan saya berharap beliau mempunyai masa untuk melaksanakan lebih banyak reformasi yang ada dalam fikirannya,” katanya.
Hannah berkata, antara fokus utama Anwar sejak mengambil alih pentadbiran adalah memulihkan ekonomi negara, malah perkara itu menjadi agenda utama dalam mesyuarat Kabinet pertama kerajaan perpaduan.
Katanya, kestabilan ekonomi penting kerana kelemahan ekonomi akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat, justeru Anwar menyalurkan tenaga dan perhatian untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh.
Beliau turut menyifatkan pendekatan Anwar memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi membantu Malaysia menguruskan cabaran krisis global ketika ini.
Baca juga:
- ‘PMX wajar diberi penggal kedua untuk teruskan agenda reformasi’ – Hannah Yeoh
- MB Perlis letak jawatan Ahli MPT Bersatu, fokus tadbir negeri hingga tamat penggal
- Rosmah kecam Nga Kor Ming, dakwa guna imejnya dalam propaganda PRN Johor
Dalam pada itu, Hannah menegaskan kepimpinan Anwar mempunyai keunikan tersendiri kerana beliau merupakan Perdana Menteri pertama yang datang daripada parti berbilang kaum, iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tambahnya, walaupun kerajaan perpaduan melibatkan banyak pihak dengan perbezaan pendirian, Anwar berjaya menguruskan pentadbiran dengan mendapatkan persetujuan bersama antara semua komponen kerajaan.
Beliau berkata, dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini, prestasi Anwar sebagai pemimpin kerajaan perpaduan adalah agak baik memandangkan cabaran untuk menyatukan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan berbeza.









