MB Perlis letak jawatan Ahli MPT Bersatu, fokus tadbir negeri hingga tamat penggal | The Reporter

MB Perlis letak jawatan Ahli MPT Bersatu, fokus tadbir negeri hingga tamat penggal

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah bercakap mengenai peletakan jawatan sebagai Ahli MPT Bersatu
Abu Bakar Hamzah. Gambar: Facebook Abu Bakar Hamzah.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran kerajaan negeri yang berbaki kira-kira setahun sebelum tamat penggal.

Memetik laporan Sinar Harian, keputusan itu dibuat berikutan kekangan masa untuk menghadiri mesyuarat di peringkat pusat selain mahu memberi komitmen penuh dalam melaksanakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat di Perlis.

Menurut Abu Bakar, peletakan jawatan tersebut tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar Perlis.

“Saya melepaskan jawatan itu kerana tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada MPT dalam keadaan kesibukan dan masalah di Perlis ketika ini,” katanya.

ADUN Sena buat keputusan sama

Beliau turut memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena yang juga Exco kerajaan negeri, Marzita Mansor, turut mengambil keputusan sama apabila menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai ahli MPT minggu lalu.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama bagi memberi peluang kepada individu lain meneruskan tanggungjawab di peringkat pusat, sementara mereka memberi fokus kepada perkhidmatan di negeri.

Abu Bakar menegaskan beliau masih kekal sebagai ahli Bersatu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis dan Ketua Bersatu Bahagian Kangar dengan kebenaran Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Baca juga:
Bukan punca dari tekanan politik

Beliau turut menafikan dakwaan bahawa peletakan jawatan itu berpunca daripada tekanan politik atau petanda akan meninggalkan parti.

Katanya, keputusan tersebut juga tidak mempunyai kaitan dengan kemelut politik di peringkat pusat atau hasrat menyertai parti lain kerana beliau masih terikat dengan Akta Antilompat Parti.

Dalam masa sama, Abu Bakar berkata beliau akan terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar sehingga tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) selaras dengan titah Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Beliau berkata, kerajaan negeri kini memberi keutamaan kepada usaha menarik lebih banyak pelaburan serta memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dapat dicapai dalam tempoh beberapa bulan akan datang, termasuk melaksanakan beberapa perancangan baharu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan Perlis.

Related Posts