Datin Seri Rosmah Mansor mengecam tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang didakwa menggunakan wajah serta imejnya dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Rosmah mendakwa tindakan tersebut merupakan propaganda murahan yang bertujuan mempengaruhi pengundi, selain menyifatkannya sebagai perbuatan tidak matang daripada seorang menteri Persekutuan.
“Lebih memalukan, beliau ialah seorang Menteri Persekutuan. Sepatutnya seorang menteri menunjukkan contoh politik matang, bukan menyebarkan bahan fitnah dan manipulasi seperti budak pejabat parti yang terdesak mengejar undi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dipaparkan dalam bahan berkenaan dan mendakwa ia merupakan satu pembohongan yang berniat jahat bagi mengelirukan pengundi.
Baca juga:
- ‘PMX wajar diberi penggal kedua untuk teruskan agenda reformasi’ – Hannah Yeoh
- MB Perlis letak jawatan Ahli MPT Bersatu, fokus tadbir negeri hingga tamat penggal
- Rosmah kecam Nga Kor Ming, dakwa guna imejnya dalam propaganda PRN Johor
Rosmah juga menyeru Menteri Komunikasi mengambil tindakan terhadap Nga berhubung penyebaran kandungan yang didakwa palsu itu.
“Kalau rakyat biasa boleh dikenakan tindakan kerana menyebarkan kandungan palsu, adakah seorang Menteri DAP kebal hanya kerana dia berada dalam kerajaan?” katanya.
Dalam pada itu, Rosmah berkata beliau tidak akan berdiam diri dan menegaskan persaingan politik perlu dilakukan secara matang tanpa menggunakan imej individu lain atau mencipta dakwaan palsu.
“Politik boleh berlawan. Tetapi jangan jadi pengecut sampai perlu guna gambar orang lain dan cipta fitnah murahan untuk menipu rakyat,” katanya.









